Liga Premier Malaysia Berita

Pemenang anugerah FIFA Fair Play, Francis Kone sertai Kuala Lumpur

Kuala Lumpur membuat kejutan apabila menandatangi pemenang anugerah FIFA Fair Play 2017, iaitu penyerang Francis Kone.

Pemain kebangsaan Togo yang berusia 29 tahun itu menjadi bualan ramai apabila menyelamatkan penjaga gol kelab Bohemians, Martin Berkovec yang jatuh pengsan selepas terlibat dalam perlanggaran dengan salah seorang rakan sepasukannya ketika perlawanan Liga Czech Republic.

 

Kone yang ketika itu beraksi untuk kelab Brno membuat keputusan yang pantas apabila meletakkan jarinya ke dalam mulut Berkovec bagi menghalang penjaga gol itu daripada tertelan lidahnya sendiri.

Itu merupakan kali keempat Kone menyelamatkan pemain dengan cara sedemikian.

Tindakan Kone mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk FIFA sehingga memenangi anugerah Fair Play.

 

Mengapa Kone bersungguh-sungguh menyelamatkan pemain dengan cara begitu?

Semasa beliau masih muda, Kone mendapat tahu dua orang di kawasan kejiranannya maut akibat tertelan lidah sendiri.

Beliau kemudian mempelajari cara untuk menghalang seseorang daripada tertelan lidah mereka.

Sejak daripada itu, Kone berjaya menyelamatkan seorang pemain ketika di Liga Thailand dan dua orang pemain ketika beraksi di Ivory Coast.

Kone dijangka menggantikan tempat Guilherme de Paula yang berhijrah ke Perak.

Beliau diharap akan menjadi inspirasi buat Kuala Lumpur untuk kembali ke Liga Super musim depan.