Liga M3 Berita

Melaka II bakal ganti SAMB FC di Liga M3

Setiausaha Agung Melaka United, Farhan Ibrahim mengesahkan bahawa pasukannya telah menghantar permohonan untuk menubuhkan pasukan feeder dalam saingan Liga M3.

Ini bermakna, Melaka berancang untuk mengisi slot SAMB FC yang telah pun membuat keputusan untuk menarik diri daripada Liga M3.

Katanya, pasukan feeder itu akan jadi platform terbaik untuk pemain muda mendapat pendedahan dalam saingan liga yang kompetitif.

“Malah ianya juga mampu menempatkan bekas pemain Piala Presiden membarisi pasukan terutama kepada mereka yang tidak mendapat tempat dalam skuad Liga Super Melaka,” katanya kepada Arena Metro.

“Justeru ia khabar gembira buat pemain muda yang akan dipilih bagi skuad berkenaan dalam tempoh terdekat.”

Sebelum ini, SAMB FC selaku sebuah pasukan dibawah pemilikan syarikat berkaitan kerajaan negeri Melaka banyak menyumbang kepada mengetengahkan bakat pemain muda dari negeri itu.

Malah musim ini, jurulatih Zainal Abidin Hassan membawa masuk tiga pemain SAMB FC iaitu Mohamad Fakhrullah Rosli, Jasmir Menhat dan Muhamad Shyamierul Razmee Jasmi.

Hasrat Melaka itu menyerupai Kuala Lumpur yang mahu menubuhkan KLII untuk saingan Liga M3, namun permohonan tersebut ditolak oleh MFL kerana didapati tidak menepati kriteria yang ditetapkan.