Luqman Hakim Shamsudin akan terus kekal di Selangor sehingga bulan Februari ini, lapor NST.
Pemain berusia 17 tahun itu sepatutnya terbang ke Cardiff pada bulan ini, namun beliau hanya akan ke sana pada 27 Feb kerana perlu terlibat dengan sesi latihan bersama skuad negara B-19 dibawah kendalian Brad Maloney.
Selepas Cardiff, beliau dijadualkan menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab Belgium, KV Kortrijk pada 17 Mac.
“Saya diberitahu akan ke sana dalam bulan Februari sebab perlu sertai skuad kebangsaan,” kata Luqman.
“Tapi setakat ini belum ada perkembangan terbaru. Sekarang ini, saya akan terus berlatih dengan Selangor.”
Bagaimanapun, masih belum dapat diketahui sama ada Luqman akan menyertai skuad B-19.
Laporan NST mengatakan perjalanan Luqman ke Cardiff terpaksa ditangguhkan kerana menghadapi masalah visa.
Pemain yang memiliki visa pelawat tidak dibenarkan berlatih ataupun bermain di Eropah.
Di United Kingdom misalnya, pemain dari luar Kesatuan Eropah perlu mendapatkan permit pekerjaan jika mahu beraksi dengan kelab bolasepak.