Liga Super Malaysia Berita

Rundingan Kedah dengan Go Auto Group, Flumen Holdings gagal

Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor membuat keputuasn untuk menamatkan rundingan bersama bakal pemilik, Go Auto Group dan Flumen Holdings selepas gagal mencapai kata sepakat.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya enggan memenuhi beberapa permintaan syarikat itu.

“Proses mengambil alih 80 peratus saham KDA FC oleh sebuah syarikat yang diumum beberapa minggu lalu, tidak dapat dimuktamadkan kerana permintaan syarikat itu tidak dapat dipenuhi KFA dan kerajaan negeri.

“Permintaan mereka terlalu besar,” katanya kepada Harian Metro.

“Antaranya tanah yang masih berstatus pertanian hendak ditukar kepada tanah industri, lepas itu ada cara bayaran yang saya tidak dapat beri kelulusan kerana ia akan mendatangkan kerugian kepada rakyat Kedah.

Sanusi turut mendedahkan, syarikat itu juga mahu memiliki Stadium Darul Aman, sedangkan stadium itu dimiliki oleh Perbadanan Stadium Negeri Kedah.

“Stadium tidak boleh diserahkan kepada pihak lain begitu sahaja kerana ia tertakluk kepada akta, kita tidak boleh lupus begitu saja, jadi ini juga antara sebab kita tidak mahu sambung lagi rundingan.

“Walaupun pihak syarikat ini menjanjikan perlaburan sebanyak RM1.5 billion sebelum ini, saya fikir ini tidak akan berlaku kerana kita tidak meneruskan lagi rundingan terbabit.”

Bagaimanapun, Sanusi mengalukan mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan pemilikan 80 peratus saham terhadap pasukan Kedah.

“Pasukan bola sepak Kedah buat masa ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh KDA FC, yang ditubuhkan oleh KFA.”

Awal bulan lepas, Kedah mengumumkan bahawa syarikat Go Auto dan Flumen berminat untuk membeli 80 peratus saham dengan nilai RM24 juta, sekali gus menjadikan mereka sebagai pemilik pasukan.

Malah, kedua-dua syarikat itu akan turut terlibat dengan satu projek berimpak tinggi dan menjanjikan pelaburan sehingga 1.5 bilion.