Liga Super Malaysia Berita

Tunggakan gaji Perak RM3.8 juta masih belum dibayar, apakah nasib Perak II?

Pemain dan pegawai Perak dilaporkan masih belum menerima tunggakan gaji sebanyak RM3.8 juta seperti yang dijanjikan pada minggu lalu.

Malah, disebabkan masalah kewangan dan dakwaan campur tangan dalam pengurusan pasukan, terdapat spekulasi bahawa Perak II akan dibubarkan pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata satu keputusan akan dibuat dalam tempoh terdekat dan berharap peminat tidak membuat sebarang spekulasi.

“Saya tak berani komen perkara ini kerana tiada keputusan mengenainya setakat ini,” kata kepada Utusan.

Minggu lalu, pengurusan pasukan Perak berjanji pembayaran tunggakan gaji sebulan setengah berjumlah RM3.8 juta akan dilunaskan dengan dana merupakan hasil usaha kerajaan negeri melalui dana yang diperolehi daripada sumbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun, mereka dilaporkan masih belum menerima apa-apa bayaran buat masa ini.

Setakat ini, Perak hanya membawa masuk tiga pemain baharu iaitu pemain Singapura, Shakir Hamzah, penjaga gol, Azri Ab Ghani dari Kedah dan Danish Haziq Saiful Hashim dari UiTM FC.

Sebaliknya, tujuh pemain telah keluar dari pasukan itu iaitu Shahrel Fikri, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Antony Golec, Khairul Amri Salehuddin, K. Sathiya, Hafiz Ramdan dan Thierry Chantha Bin.