Berita AFC Champions League

Kpah Sherman lewat ke Korea Selatan selepas hadapi masalah visa

Kedah berdepan detik cemas selepas penyerang baharunya, Kpah Sherman berdepan masalah visa sekaligus menyukarkan jurulatih Aidil Sharin untuk merancang strateginya ketika berdepan FC Seoul dalam saingan play-off AFC Champions League esok.

Walaupun masalah visa tersebut dapat ditangani dengan baik, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris bimbang penyerang dari Liberia itu akan tiba lewat di Korea Selatan.

“Kami akui memang ada isu visa beliau sebelum ini namun ia sudah selesai,” katanya kepada Arena Metro.

“Kpah akan ke sana dan terpulang kepada Aidil Sharin untuk membenarkan beliau bermain atau tidak.

“Cuma kami risau penerbangannya mengambil masa sedikit, jika dia dapat bermain, Alhamdulilah.”

Katanya, ketiadaan Kpah tidak terlalu memberi kesan kepada pasukan kerana pemain lain juga berupaya untuk beraksi pada tahap terbaik.

“Mereka mempunyai tahap hampir sama dengan pemain utama. Jadi saya percaya dan yakin bahawa kesebelasan utama ini akan mencatatkan kemenangan di Korea Selatan.”