Kolum Eropah

Ole: De Gea dikasari..

Ketua Jurulatih Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer menggesa sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk diperkemas ekoran gol yang diperolehi Everton ketika menentang pasukannya telah dikira walaupun penjaga gawang United, David De Gea dikasari.

Perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 itu menyaksikan pasukan kendalian jurulatih sementara Everton, Duncan Ferguson memperoleh gol awal menerusi jaringan sendiri pemain tengah United, Victor Lindelof.

‘’Ya itu merupakan satu kekasaran terhadap dia (De Gea). Tetapi tiada guna jika saya terus mempersoalkan’’, tegasnya kepada pemberita.

‘’VAR akan semakin baik pada tahun depan. Saya yakin. Kita akan lihat tetapi apa yang berlaku terhadap De Gea adalah satu kekasaran. Itu sahaja’’, tambahnya lagi.

Solksjaer turut berpendapat bahawa penjaga gol utama Manchester United itu telah dikasari dengan siku oleh pemain Everton. Situasi itu menghalang David De Gea untuk membuat tangkapan kemas ketika sepakan penjuru diambil.

Pemain gantian The Red Devils, Mason Greenwood muncul penyelamat pasukan apabila menjaringkan gol penyamaan pada hujung babak kedua untuk sekurang-kurangnya memberikan satu mata buat United.