Kolum Eropah

VAR akan diperbaiki

Video Assistant Referee (VAR) akan mengalami sedikit perubahan berikutan beberapa keputusan kontroversi pada hujung minggu lalu.

Laporan Mirror UK, menyatakan pihak Liga Perdana Inggeris akan memanggil wakil pasukan bagi membincangkan isu ini. Hujung minggu lepas telah menyaksikan insiden berprofil tinggi melibatkan dua pasukan iaitu Everton dan Arsenal yang keciciran mata ekoran keputusan pengadil berdasarkan VAR. 

Setakat ini, VAR telah diguna pakai dalam 100 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan sejumlah 26 keputusan telah ditukar termasuk penalti kontroversi Brighton dan jaringan gol kemenangan Arsenal yang dibatalkan ketika menentang Crystal Palace.

Pengadil perlawanan telah dinasihatkan agar menjimatkan masa dan tidak perlu pergi ke tepi padang untuk mengesahkan jaringan menerusi skrin disitu. 

Dalam pada itu, pertahanan tengah Arsenal, Sokratis memberikan respon setelah golnya dibatalkan dengan menyatakan VAR itu bagus tetapi pengadil perlu mengesahkan melalui skrin pada setiap masa.

Pemain berpengalaman Liverpool, James Milner pula berpandangan bahawa terlalu banyak perkara untuk dibincangkan apabila menyebut tentang VAR.