Malaysia Liga Super Malaysia

Penyokong Kelantan mahu Fajr Ibrahim bertanggungjawab ke atas prestasi pasukan

Penyokong Kelantan mahu ketua jurulatih Kelantan, Fajr Ibrahim bertanggungjawab ke atas prestasi The Red Warriors sehingga menyebabkan pasukan itu tewas 5-1 kepada Kuala Lumpur malah menyebabkan pasukan itu jauh terperosok dalam zon penyingkiran Liga Super.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan (PBPBK) Anuar Rajib berkata, ini terutamanya selepas jurulatih itu menggugurkan beberapa pemain senior dan import ketika mula-mula mengambil alih pasukan itu sebelum ini.

Hasilnya, selepas enam perlawanan di bawah kendalian Fajr, Kelantan hanya mencatat satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

“Fajr tidak boleh lari daripada kenyataan kerana tindakan pemutihan pasukan dengan mengetepikan 20 pemain pada pertengahan musim ini menjerat dirinya sendiri sebagai jurulatih,” katanya kepada Bernama.

Beberapa nama besar The Red Warriors yang menjadi mangsa adalah ketua pasukan Mohd Badri Mohd Radzi, Noor Farhan Muhammad, Khairul Fahmi Che Mat dan Nik Shahrul Azim.

Ini jauh beza dengan kejayaan yang dikecapi ketika era Bojan Hodak kerana Fajr lebih gemar menggunakan sepenuhnya khidmat pemain muda selain mempunyai khidmat dua pemain import.

Tambah Anuar, Fajr perlu mencari jalan untuk memenangi perlawanan akan datang jika tidak mahu penyokong dan penaja hilang percaya terhadap kebolehannya.

“Beliau telah melakukan rombakan besar-besaran dan ketika ada masalah seperti ini beliau tidak boleh lari daripada masalah yang beliau sendiri cipta.

“Fajr perlu bertanggungjawab sehingga ke akhir musim atas apa yang berlaku terhadap Kelantan ketika ini,” katanya.