Malaysia Liga Super Malaysia

Kuala Lumpur terdesak cari penjaga gol baharu

Pasukan Kuala Lumpur sememangnya berhasrat untuk mendapatkan penjaga gol baharu selepas penjaga gol sedia ada iaitu Kamarul Effandi, Solehin Mamat dan Khatul Anuar tidak begitu meyakinkan sepanjang saingan Liga Super berlangsung.

Sebab itu, pasukan warga kota itu sering dikaitkan dengan beberapa penjaga gol lain, termasuk Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, kegagalan mencapai kata sepakat dengan Khairul Fahmi berkenaan dengan tawaran gaji memaksa Kuala Lumpur mengalih tumpuan kepada Sharbinee Allawee.

Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa sendiri mengesahkan bahawa pihaknya terpaksa mengubah perancangan awal mereka untuk membawa masuk tonggak tempatan dan import baharu ketika jendela perpindahan kedua kerana kekangan kewangan.

“Sharbinee sudah berlatih sejak awal bulan ini dan jurulatih memang berminat dengannya.

“Risiko tetap ada tetapi berdasarkan pandangan jurulatih dan kecergasannya, saya rasa tiada masalah untuk dia bermain,” katanya kepada Astro Arena.

Sebelum ini juga, Nokman tidak menolak kemungkinan untuk menggugurkan Junior Aparecido kerana prestasi pemain tengah Brazil itu kurang meyakinkan musim ini.

Namun, hasrat itu nampaknya terpaksa dilupakan sahaja buat masa ini kerana Kuala Lumpur tidak dapat menanggung kos yang tinggi untuk menamatkan kontrak pemain itu.

“Mungkin disebabkan kekangan kewangan dan juga disebabkan pemain ini tidak mahu keluar tanpa pampasan yang tinggi, terpaksa tunggu sehingga akhir November. Kami tidak mampu,” katanya.