Luar Negara Eropah

La Masia, La Fabrica dan 10 akademi bolasepak terbaik di Eropah

Bagi kebanyakan kelab-kelab bola sepak eropah, mempunyai akademi bola sepak tersendiri adalah suatu kelebihan kerana mereka dapat membentuk pemain-pemain muda untuk menggalas cabaran kelab pada masa hadapan. Ataupun pemain-pemain yang berbakat di dalam akademi ini dibeli oleh kelab-kelab lain seterusnya menghasilkan pendapatan bagi kelab itu sendiri.

Di eropah,  terdapat beberapa akademi yang menjadi pilihan pemain-pemain untuk memasukinya. Samada ianya disebabkan fasiliti-fasiliti, tenaga kejurulatihan dan juga sejarah sesebuah akademi itu mengeluarkan pemain-pemain hebat pada masa kini. Berikut adalah 10 akademi bola sepak terbaik eropah:

Ajax Amsterdam

Liga yang mereka sertai mungkin tidak gah seperti EPL, Bundesliga, Serie A atau La Liga. Namun akademi mereka telah melahirkan ramai pemain-pemain bintang yang berkelana di serata Eropah untuk bermain di liga-liga yang dinyatakan. Pemain-pemain ini pernah menggegarkan dunia bola sepak seperti Clarence Seedorf, Marco van Basten, Wesley Sneijder, Johan Cruyff dan Edgar Davids.

La Masia, Barcelona

Kelab berpengkalan di Catalan ini juga mempunyai sejarah yang panjang dalam menghasilkan pemain-pemain hebat menerusi akademinya yang tersohor seantero dunia iaitu La Masia. Tiga nama ini Lionel Messi, Andres Iniesta dan Xavi Hernandez antara nama-nama yang sering terpampang dalam kesebelasan utama terbaik dunia saban tahun merupakan hasil daripada akademi ini.

Bayern Munich

Gergasi Jerman ini juga memiliki akademi yang besar dan mempunyai pelbagai fasiliti yang menakjubkan. Mereka lebih banyak merekrut pemain tempatan untuk dijadikan pemain-pemain berkelas dunia seperti Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger dan Thomas Muller. Tidak perlu lagi dinafikan kualiti mereka apabila mereka adalah sebahagian skuad yang menjuarai Piala Dunia 2014.

AC Milan

Dekad 90-an dan awal tahun 2000 merupakan zaman kegemilangan kelab-kelab dari Itali. AC Milan tidak ketinggalan mewarnai kancah bola sepak Eropah ketika itu dengan beberapa pemain yang menjadi sebutan ramai. Antara pemain hasil daripada akademi mereka adalah Paolo Maldini, Franco Baresi dan Pierre Emerick Aubameyang.

La Fabrica, Real Madrid

Sedikit janggal apabila bercerita tentang akademi Real Madrid ini. Seperti kita semua tahu, Real Madrid lebih terkenal dengan polisi pembelian pemain bintang berbanding dengan mengangkat pemain-pemain akademi mereka ke dalam skuad senior. Namun, beberapa nama seperti Iker Cassilas, Raul Gonzalez, Juan Mata, Dani Carvajal dan Alvaro Morata antara pemain daripada akademi ini.

Manchester United

Seperti sedia maklum, pasukan dengan jolokan Red Devil ini memiliki satu akademi yang dinamakan Aon Training Complex. Sebuah kompleks yang besar memuatkan pusat latihan dan juga akademi latihan untuk semua pemain di semua peringkat. Antara kejayaan yang besar bagi akademi ini adalah menghasilkan pemain yang dikenali dengan nama “Class of 92” seperti Ryan Giggs, Paul Scholes, David Beckham dan adik beradik Neville.

Sporting Lisbon

Merupakan salah satu akademi terbaik dan terbesar di Eropah. Menjadi akademi pilihan buat pemain-pemain berbakat seluruh dunia terutamanya Brazil dan negara-negara Amerika Selatan. Antara pemain yang pernah menyertai akademi ini adalah Luis Figo, Christiano Ronaldo, Joao Moutinho dan Luis Nani.

Schalke 04

Kelab yang bermain dalam saingan Bundesliga ini juga memiliki akademi yang terbaik di Eropah. Mungkin ramai tidak mengetahui yang mereka juga menggilap beberapa pemain untuk menjadi pemain bintang seperti Mesut Ozil, Manuel Neuer, Julian Draxler dan Leroy Sane.

Southampton

Pasukan yang berpengkalan di England ini bukan suatu yang asing bagi peminat bola sepak Malaysia yang umumnya meminati Liga Perdana Inggeris. Antara bintang yang terhasil daripada akademi ini adalah Alan Shearer, Theo Walcott, Luke Shaw, Alex Oxlade-Chamberlain dan juga Gareth Bale.

AS Monaco

Kelab yang bermain di Ligue 1 ini memilki sebuah akademi yang menakjubkan. Antara nama-nama besar yang keluar dari akademi ini ialah Emmanuel Petit, Lilian Thuram, David Trazequet dan Thierry Henry.