Malaysia Liga Super Malaysia

Jurulatih Negeri Sembilan kecewa lesen masih belum diluluskan oleh AFC

Jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos jelas kecewa kerana lesennya masih belum mendapat kelulusan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi membolehkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendaftarnya selaku jurulatih sekali gus memainkan peranannya di tepi padang bersama pemain ketika perlawanan berlangsung.

“Memang sedih apabila terpaksa berada sejauh 50 meter daripada pasukan dan tidak dapat beri arahan kepada pemain. Agak pelik kerana lesen kejurulatihan saya adalah dari Australia dan kenapa perlu tunggu untuk mendapat kelulusan.

“Saya berharap ia dapat diselesaikan segera. Apa pun saya bangga dengan kejurulatihan pasukan terutamanya Asri Ninggal yang sentiasa berkomunikasi dengan saya ketika aksi menentang JDT dan saya percaya kami akan bangkit,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam pada itu, Lemos enggan terlalu awal mengangkat bendera putih biarpun masih kekal di tangga tercorot Liga Super selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas mengharungi 11 perlawanan liga, Negeri Sembilan hanya mampu mengumpul lima mata setakat ini.

Katanya, walaupun tumpas kepada JDT, apa yang dipamerkan pemainnya tetap membanggakan apabila berjaya mengekang gerakan berbahaya pasukan pendahulu liga itu yang menyerang di bahagian kiri dan kanan.

“Itu yang kami rancangkan apabila berdepan JDT dengan menidakkan gerakan di posisi tengah dan menutup pemain lawan bergerak di posisi sayap kiri dan kanan namun hanya sedikit kesilapan kami dihukum dan JDT meraih tiga mata di laman mereka sendiri.

“Kami juga ingin melakukan serangan balas pantas, tetapi kami tiada kualiti itu sebaliknya JDT yang lebih agresif menyerang dan menguasai perlawanan dan kami terlalu terikut-ikut dengan corak permainan mereka.

“Apa pun, selepas menyaksikan pemain saya beraksi mereka ada kualiti dan tugas saya untuk membentuk barisan yang mantap bagi mencari kemenangan apabila berdepan Kelantan nanti,” katanya.