Liga Super Malaysia

Nelo Vingada tidak sabar untuk pengakhiran musim Liga Malaysia

Ketua jurulatih Malaysia, Nelo Vingada berpendapat bahawa skuad Malaysia seterusnya akan lebih mantap dan yakin bahawa para pemain tempatan mampu membantu beliau meraih kemenangan pertama bersama Harimau Malaya.

Di bawah kendalian Vingada, pasukan Malaysia belum lagi berjaya memenangi sebarang perlawanan. Baru-baru ini, Malaysia tewas 0-2 di tangan Hong Kong – satu lagi keputusan yang sudah pasti meningkatkan tekanan di atas bahu Vingada.

Namun, bekas pengurus FC Seoul itu masih yakin bahawa pasukannya mampu bangkit semula dalam kempen kelayakan Piala Asia 2018. Malah, Vingada tidak sabar untuk Liga Malaysia tamat, supaya beliau boleh memilih skuad yang lebih bagus untuk perlawanan yang akan datang.

“Kedudukan sekarang amat sukar tapi kami harus berjuang kerana saya percaya pemain berhak mendapat keputusan lebih baik,” kata Vingada kepada Berita Harian.

“Dengan kombinasi pemain bawah 22 tahun dan pemain senior, saya percaya kami boleh mencapai sesuatu pada masa akan datang. Pasukan ini berdepan pelbagai masalah kecederaan, penggantungan pemain jadi saya berharap pada perlawanan seterusnya November ini, selepas Liga Malaysia berakhir, saya akan dapat pilihan pemain lebih baik,” tambah beliau.