Debaran semain terasa menjelang pertembungan Malaysia dan Indonesia bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada esok malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketua Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak ingin terlalu selesa dengan melihat kepada keputusan yang lepas dimana Malaysia menumpaskan Indonesia 3-2 di Stadium Bung Karno, Jakarta pada September lepas.
Perlawanan pada malam esok merupakan aksi terakhir skuad Harimau Malaya pada tahun ini dan Cheng Hoe menasihatkan pemain untuk fokus dan tidak memandang rendah kepada pasukan lawan kerana beliau yakin pertembungan malam esok adalah berbeza dengan yang sebelum ini dengan menyaksikan Indonesia membawa beberapa pemain baru ke dalam pasukan.
Sementara itu, Cheng Hoe turut menegaskan semua perlawanan pasti wujud tekanan. Namun tekanan lebih besar ekoran persembahan cemerlang anak buahnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini. ‘Saya sentiasa memberi galakan kepada pemain untuk memberikan 100% kepada pasukan. Tekanan untuk setiap perlawanan adalah sangat penting’, katanya lagi.
‘Indonesia datang dengan persediaan yang terbaik. Pastinya mereka juga mahukan keputusan yang positif. Jadi, kita perlu lebih berhati-hati’, ujarnya ketika sesi sidang media pra-perlawanan yang berlangsung tengahari tadi.
Skuad Harimau Malaya perlu mengutip tiga mata penuh pada malam esok untuk terus menghidupkan peluang layak ke pusingan seterusnya. Malaysia kini berada di tangga keempat kumpulan G dengan berkongsi enam mata bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE).