Malaysia Berita

Cheng Hoe: Sokongan 80,000 penonton akan menjadi motivasi kepada pemain

Malaysia kehilangan dua tonggak utama menjelang aksi menentang Indonesia pada malam esok. Syafiq Ahmad dan Matthew Davies terlepas perlawanan bertemu Indonesia ekoran kutipan kad kuning pada perlawanan sebelum ini.

Pengendali utama skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui ketiadaan Syafiq Ahmad pada malam esok sedikit sebanyak memberi kesan kepada jentera serangan kerana walaupun penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak menjaringkan gol pada perlawanan sebelum ini (menentang Thailand), tetapi larian efektif yang dilakukan sememangnya membantu pasukan dalam merencana serangan.

Pemain bek kanan, Matthew Davies yang mempamerkan persembahan bertenaga dalam tiga hingga empat perlawanan sebelum ini juga tidak dapat turun beraksi. Cheng Hoe berkata barisan terbaik akan digunakan pada malam esok dan semangat berpasukan melangkaui persembahan individu.

Dalam perkembangan lain, Syahmi Safari yang mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Thailand pada Khamis lepas dilihat menunjukkan perkembangan positif dan dijangka akan diturunkan pada malam esok sekiranya pulih sepenuhnya. Jika berlaku perkara sebaliknya, Cheng Hoe yakin pemain yang akan menggantikan posisi tersebut mampu menggalas tugas dengan baik.

Sementara itu, tiket perlawanan yang dikatakan telah habis terjual sehingga mencecah 80,000 keping akan menjadi motivasi buat para pemain untuk memberikan yang terbaik. Cheng Hoe juga mengingatkan para penyokong untuk datang dan beri sokongan kepada pasukan masing-masing secara aman. ‘Saya mahu penyokong datang untuk menikmati suasana dan perlawanan sahaja’, tegasnya.