Malaysia Berita

Shahrul kagum dengan Brendan

Pemain pertahanan tengah negara, Shahrul Saad menyifatkan rakan sepasukan, Brendan Gan sebagai seorang pemain yang berdisiplin di dalam dan luar padang. Prestasi yang dipamerkan Brendan bagi tahun ini sangat baik dan cemerlang.

Disamping itu, Brendan juga merupakan seorang pemain yang banyak memberi nasihat di dalam padang. Shahrul turut memuji kesungguhan dan keazaman yang ditunjukkan Brendan serta menganggap ianya begitu membantu keseluruhan pasukan.

Menjelang pertembungan bertemu Indonesia malam esok, Shahrul mengingatkan barisan pertahanan skuad Harimau Malaya untuk tidak dibolosi. ‘Semua pemain harus kekal bertahan sebagai satu pasukan dan terus cipta jaringan’, tambahnya lagi.

Malaysia dibolosi seawal minit ketujuh pada perlawanan menentang Thailand pada Khamis lepas tetapi tangkas bangkit untuk menewaskan Thailand 2-1. Enam gol telah dibolosi oleh Malaysia daripada empat perlawanan setakat ini.

Shahrul berpuas hati dengan persembahan pasukan Malaysia dan mengambil perkara positif daripada kempen kali ini. Kemenangan pada dua perlawanan sebelum ini (menentang Tajikistan dan Thailand) menandakan perkara positif daripada kem Harimau Malaya dan berharap agar momentum itu dapat diteruskan untuk mengutip tiga mata penuh malam esok.

Dalam pada itu, pertahanan pasukan Perak itu juga berharap insiden seperti yang telah berlaku di Stadium Bung Karno, Jakarta pada September lepas tidak berulang. Ianya merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pemain.

‘Saya harap tiada provokasi yang berlaku seperti sebelum ini dan turunlah menyokong pasukan masing-masing’, katanya.