Malaysia Berita

Tumena minta penyokong Indonesia fahami konsep ‘football family’

Pasukan Indonesia yang akan bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok menentang Malaysia sudah bersedia untuk beraksi. Indonesia tiba lebih awal di Malaysia sejak seminggu yang lepas.

Ketua Jurulatih sementara pasukan Indonesia, Yeyen Tumena menjelaskan pasukan bimbingannya sedang mengharungi proses transformasi. Perubahan yang berlaku menyaksikan kemasukan beberapa pemain baru dan pasukan Indonesia juga sedang giat mempersiapkan skuad bagi kejohanan Sukan SEA yang akan berlangsung di Manila pada hujung bulan November.

‘Kami tiba lebih awal disini. Kami juga dapat menyaksikan perlawanan Malaysia bertemu Thailand pada Khamis lepas. Hasil dua perlawanan yang dianalisis (menentang Malaysia di Jakarta dan Malaysia menentang thailand), Malaysia bermain bola sepak mudah dan baik serta berpasukan.’

Tumena mengakui kegagalan Indonesia untuk mengutip sebarang mata setakat ini menandakan ada sesuatu yang perlu diperbaiki. Tambahnya lagi, tekanan untuk menghadapi 80,000 sorakan penyokong Malaysia tidak akan sedikit pun mengganggu konsentrasi anak buahnya.

‘Tekanan itu sentiasa wujud dalam setiap perlawanan. Apa pun kesan tekanan itu, kami akan hadapi dengan dua keadaan iaitu menang atau kalah’, tegasnya lagi.

Malah, sorakan 80,000 penonton hanya akan menambah semangat pemain-pemainnya yang sentiasa positif. Walaupun akur dengan realiti bahawa tugas pada malam esok begitu berat, tetapi Tumena tetap akan berikan yang terbaik pada perlawanan pertama dibawah kendaliannya.

Akhir sekali, Tumena dan juga ketua pasukan, Yanto Basna mengingatkan para penyokong Indonesia untuk tidak mendatangkan sebarang insiden yang tidak diingini. Mereka juga berharap penyokong pasukan Indonesia memahami konsep ‘football family’. ‘Kita bermusuh hanya untuk 90 minit dan setelah itu kita tetap bersaudara walau dimana pun berada’, ujar mereka.