Malaysia Berita

Tiada Syafiq, Tiada masalah

Ketiadaan penyerang utama, Syafiq Ahmad yang digantung perlawanan akibat mengutip kad kuning pada perlawanan sebelum ini tidak menjadi masalah buat kem skuad Harimau Malaya. Ini kerana kekosongan yang ditinggalkan itu akan diisi oleh seorang lagi penyerang berpengalaman negara.

Norshahrul Idlan Talaha atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo bersedia untuk memikul amanah berat pada malam ini. Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe akan melayan kunjungan pasukan Indonesia bagi saingan Kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Mat Yo yang diketepikan dalam dua perlawanan sebelum ini menentang Tajikistan dan Thailand berkata dia bersedia untuk diturunkan dan memberi sehabis baik buat pasukan negara. Tonggak utama pasukan Pahang ini diturunkan ketika Malaysia bangkit membenam Indonesia 3-2 di Stadium Bung Karno, Jakarta pada September lalu.

‘Moral pasukan agak baik selepas mengharungi keputusan yang diingini (menentang Tajikistan dan Thailand), namun setiap pemain perlu mengelakkan diri daripada mengambil mudah dan jangan terlalu yakin’, lapor Astro Awani.

Mat Yo juga berpendapat bahawa Indonesia merupakan salah satu pasukan yang agak kuat dan tidak seharusnya mengambil mudah. Justeru, dia meminta rakan sepasukan untuk memberikan sepenuh tumpuan pada perlawanan tersebut.

Indonesia sebagai pasukan pelawat pastinya mahu mencipta kejutan pada perlawanan menentang Malaysia. Meskipun peluang buat mereka dilihat hampir pasti tertutup, namun maruah pasukan masih perlu dijaga. Tambahan pula, ini merupakan perlawanan pertama pasukan Indonesia dibawah kendalian jurulatih sementara, Yeyen Tumena.

Kemampuan gandingan Trio S (Shahrul, Safawi, Sumareh) untuk menembusi gawang Indonesia akan diuji dan dinilai pada malam ini. Jelas, sorakan 80,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal memberi tonik dan motivasi buat anak buah Tan Cheng Hoe.