Luar Negara Berita

Pochettino Mahu Spurs Jadi Lebih Baik

Kemenangan selesa Tottenham Hotspur secara agregat 4-0 mengatasi Borussia Dortmund pada kempen Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi menjadikan mereka mara ke kelompak pasukan lapan terbaik.

Biarpun berdepan tekanan Dortmund pada separuh masa pertama di Westfalenstadion, bagi pengendali Spurs, Mauricio Pochettino mahu anak buahnya bangkit dan meningkatkan prestasi mereka bagi menghadapi lawan yang lebih besar.

“Bagi saya, untuk mara ke tahap seterusnya atau tahap terakhir, saya rasa bukan hanya hari ini kami menunjukkan tahap profesional,” kata Pochettino selepas perlawanan.

“Ia sangat penting untuk berada di suku akhir, tapi anda perlu tunjukkan lebih baik jika mahu berada di tahap seterusnya.”

“Untuk membina kemungkinan itu, untuk berada pada tahap sama dengan kelab yang kami perkatakan, anda perlu sentiasa bermula pada langkah pertama. Kami berada pada pertengahan 70 peratus untuk maju ke depan.”

(Photo by Craig Mercer/MB Media/Getty Images)

Spurs yang tewas pada pusingan 16 musim lalu dengan Juventus bermain baik ketika menentang Dortmund apabila berjaya mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.

Gol mereka hadir melalui penyerang tunggal, Harry Kane untuk kemenangan 1-0 seterusnya menempah tempat ke kelompok lapan terbaik.

“Kami memang berhak. Kami menjaringkan empat gol, tidak bolos dan ini menentang pasukan berkedudukan teratas Bundesliga bersama pemain hebat.”

“Tugasan selesai. Saya gembira dengan pemain saya, untuk peminat kami,” katanya.

“Saya rasa ia sesuatu yang amat penting untuk kami menang malam ini. Kami menderita sedikit pada babak pertama tetapi yang penting kami layak ke suku akhir.

(Photo by Jörg Schüler/Getty Images )

Harry Kane yang telah mencetak 24 gol dalam kesemua kejohanan Eropah untuk Spurs telah mencatatkan nama beliau sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kelab.

Beliau juga mencatat nama sebagai penyerang pertama yang berjaya menjaringkan gol di Westfalenstadion pada kempen Liga Juara-Juara Eropah.

“Ia sentiasa sukar bila berdepan perlawanan seperti ini, anda tidak tahu sama ada mahu bertahan atau menyerang,” kata Kane, yang memuji penjaga gol Spurs, Hugo Lloris berikutan banyak menyelamatkan cubaan lawan.

“Mereka memiiki beberapa peluang. Pada babak pertama kami perlukan semua orang, pertahanan membuat halangan, Hugo menyelamatkannya, itulah Liga Juara-Juara – anda perlu semua orang.”

Ini adalah kali pertama Tottenham berada dalam kelompok lapan terbaik Liga Juara-Juara sejak 2010/11 apabila mereka tunduk 5-0 secara agregat kepada Real Madrid. – AFP