Malaysia Berita

Kim Swee Panggil Akhyar, Safawi Perkuatkan B-22

Seramai 21 pemain dari skuad yang beraksi pada Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Phnom Penh, Kemboja, bulan lalu telah dikekalkan dengan Kim Swee hanya menggugurkan dua pemain iaitu Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur) dan Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan).

Bagi melengkapkan senarai 27 pemain untuk kem latihan pusat kali ini, Kim Swee telah memanggil enam pemain baharu termasuk empat pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe pada Piala Suzuki AFF 2018 iaitu Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari, serta dua lagi pemain iaitu Danial Amir Norhisham dan Faisal Abdul Halim.

Skuad B-22 kebangsaan ini akan menjalani latihan selama tujuh hari di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam sebelum diuji pada satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Australia B-22 di Stadium Shah Alam pada 17 Mac 2019.

Kim Swee selepas itu akan menamakan senarai akhir 23 pemain bagi membawa cabaran Malaysia pada saingan kelayakan Kumpulan J bermula dengan aksi bertemu Filipina pada 22 Mac (Jumaat), diikuti aksi menentang Laos pada 24 Mac (Ahad) dan China pada 26 Mac (Selasa), ketiga-tiga perlawanan di Stadium Shah Alam, jam 8.45 malam.

Hanya juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat/lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Malaysia sebelum ini ketika turut dibimbing Kim Swee layak ke pusingan akhir buat kali pertama pada Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan berjaya mencipta sejarah melangkah ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan. – FAM

Senarai pemain skuad B-22

Penjaga gol: Muhammad Haziq Nadzli, Damien Lim Chien Khai, Muhd Azri Ab Ghani

Pertahanan: Dominic Tan Jun Jin, Mohd Hariz Kamarudin, Muhd Shahrul Nizam Ros Hasni, R Dinesh, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir, Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Evan Wensley Wenceslaus, Muhd Amirul Ashraf Ariffin, Muhd Nazirul Afif Ibrahim, Muhd Syahmi Safari

Tengah: Syamer Kutty Abba, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhd Danial Haqim Draman, Muhd Daniel Amier Norhisham, K Thivandaran, Muhd Izzan Syahmi MustapaSayap: Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Mohd Faisal Abdul Halim, Arisdius Jais

Penyerang: Nik Azli Nik Alias, R Kogileswaran, Muhd Jafri Firdaus Chew, Muhd Hadi Fayyadh Abdul Razak