Dua gol yang terhasil pada separuh masa pertama berjaya meletakkan Melaka United (MU) pada tangga keempat Liga Super selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) 2-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.
Dengan 10 mata yang dikutip setelah menjalani lima perlawanan Liga Super pasti melegakan pengendali MU, Zainal Abidin Hassan yang sebelum ini seri dengan Pahang dan tewas dengan Johor Darul Ta’zim.
MU yang mengawal perlawanan daripada permulaan wisel pertama sehingga tamat separuh masa pertama jelas telah menenggelamkan pasukan lawan.
Gol tuan rumah hadir pada minit ke-14 menerusi hantaran lintang Faris Shah Rosli yang menemui Darco Markovic untuk tandukan yang menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Sharbinee Allawee.
Manakala gol kedua MU hadir selang dua minit selepas gol pertama menerusi sayap kiri MU, Nazrin Nawi yang berjaya menyambut kemas hantaran Safiq Rahim untuk meletakkan kemenangan selesa buat MU.
MU sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan tersebut, tetapi gagal disudahkan oleh anak buah Zainal Abidin.
MU yang berjaya mencatat tiga kemenangan, satu seri dan satu keputusan tewas bakal bertemu Terengganu di Stadium Sultan Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 9 March nanti.