Malaysia Berita

Kami Akan Bayar – Bibi Ramjani

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan telah menjelaskan bahawa sebahagian daripada tunggakan gaji sudah dilangsaikan melibatkan pemain tempatan dan juga import yang beraksi antara musim 2015 dan 2017.

Dalam pada masa yang sama, beliau meminta agar pihak-pihak yang terlibat mempunyai sikap tolak ansur terhadap keadaan kewangan kelab dan menyatakan pendirian beliau yang tidak akan lari daripada membayar tunggakan gaji.

Ia bagi mengulas lanjut dakwaan beberapa pihak yang menyatakan bahawa beliau seperti lepas tangan tentang isu tunggakan gaji.

“Bukan kami tidak mahu bayar bakinya (tunggakan), namun biarlah ada sikap tolak ansur terutamanya ketika persatuan mengalami tekanan kewangan ketika ini. Bagi kami ruang untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

“Kita cuba untuk selesaikan, namun ada kumpulan bekas pemain ini membuat laporan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Permain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Daripada laporan itu, kita mendapati jumlah tuntutan berbeza dengan rekod persatuan oleh itu mereka perlu datang berbincang dengan KAFA.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada beberapa bekas pemain Kelantan yang terbabit dengan masalah tunggakan gaji memahami masalah yang dihadapi persatuan, ” katanya kepada Berita Harian.