Malaysia Berita

Sarawak Ambil Keputusan Drastik Rehatkan Ketua dan Penolong Jurulatih

Sarawak mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih, Mohd Farhan Abdullah dan penolongnya, David usop selepas skuad itu dibelasah UKM FC 4-0, semalam.

Tindakan drastik itu berikutan prestasi buruk skuad Ngap Sayot selepas lima aksi Liga Perdana musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menyatakan bahawa kedua-duanya direhatkan bagi memperbaiki prestasi semasa pasukan.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “Segala keputusan dan tindakan diambil atas faktor untuk meningkatkan prestasi Sarawak dan menyelamatkan kedudukan pasukan dalam Liga Perdana 2019.

“Kedua-dua jurulatih sudah pun dimaklumkan dan pengganti sementara (mereka) akan diumumkan dalam masa terdekat bagi persiapan pada penghujung Mac nanti,” katanya.

Sebelum ini, PDRM telah menjadi pasukan pertama yang merehatkan ketua jurulatih mereka, Fauzi Pilus selepas PDRM tewas 0-1 kepada Selangor United.