Luar Negara Berita

Yusri mahu Kelantan tampil lebih yakin

Para pemain Kelantan dituntut untuk tampil lebih yakin berdepan Pulau Pinang menjelang aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru,  malam ini.

Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah berkata anak buahnya perlu kembali menunjukkan aksi yang lebih positif sekirannya mahu mengelak daripada menjadi mangsa belasahan.

“Saya harap mereka lebih fokus perlawanan ini kerana ketika bertemu Negeri Sembilan baru-baru ini, nampak seolah-olah mereka tidak ada keyakinan. Saya menyentuh perkara ini kerana ada pemain tidak ada keyakinan terutama ketika mengawal bola.

“Tanpa keyakinan, pemain akan berterusan melakukan kesilapan dan dihukum dalam perlawanan walaupun sebahagian besar mereka berada di bawah kendalian saya, sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelantan yang gagal mencatat sebarang kemenangan di halaman sendiri pada musim ini dilihat tertekan dan beliau mengharapkan aksi yang lebih agresif dipamerkan oleh para pemain Kelantan

Dalam masa sama, jurulatih kelahiran Perlis itu juga mahu anak didiknya bangkit mempamerkan aksi agresif kerana Kelantan tampak begitu tertekan setelah gagal mencatatkan kemenangan di laman sendiri, sepanjang musim ini.

“Kita belum menang walaupun sekali di Kota Bharu. Saya tahu ini masalah besar kerana penyokong Kelantan mahukan mereka beraksi dengan baik dan meraih kemenangan. Saya harap ia dapat direalisasikan malam esok,” katanya.

Dua tonggak penting Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohd Azwan Aripin boleh diturunkan selepas kedua-dua pemain menjalani hukuman penggantungan

“Cuma saya masih gagal menggunakan Nik Azli (Nik Alias) dan Cassio (de Jesus) kerana mereka masih mengalami kecederaan. Tetapi dengan kemasukan semula Mohd Azwan, pasti ada rombakan di bahagian pertahanan dan hanya pemain terbaik sahaja akan disenaraikan dalam kesebelasan terkuat,” katanya lagi.