Malaysia Berita

Wan Kuzain Sedia Beraksi Bersama Akhyar dan Safawi

Pemain simpanan Sporting KC, Swope Park Rangers – Wan Kuzain Wan Kamal dalam satu kenyataan yang dipetik di Berita Harian meluahkan hasrat untuk bermain bersama-sama dengan dua penyerang negara, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

“Dua pemain Malaysia menarik minat saya iaitu Akhyar dan Safawi kerana mereka menunjukkan aksi yang begitu berani dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi pertahanan lawan.

“Saya mahu menjadi pemain dengan kriteria sebegitu dan sudah tentu saya mahu beraksi bersama mereka,” katanya.

Wan Kuzain yang ditemui di Sunway Pyramid dalam satu program ramah mesra menyatakan bahawa beliau masih lagi berbelah bahagi untuk bermain bersama Harimau Malaya atau Amerika Syarikat bagi karier antarabangsa beliau.

“Saya tidak menutup mana-mana pintu. Saya boleh mewakili Amerika Syarikat tapi keluarga saya orang Malaysia. Saya mahu memberikan sesuatu kepada keluarga yang sentiasa menyokong karier saya.

“Buat masa ini, ia 50-50. Namun saya akan membuat keputusan terbaik apabila tiba masanya nanti.

“Apa pun, impian utama saya semestinya untuk terus bersama Sporting KC. Ini detik terbaik buat saya dan saya mahu melangkah lebih jauh dalam karier saya,” katanya.