Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyatakan pasukan Malaysia masih jauh perjalanan dalam melayakkan diri ke Piala Dunia walaupun sudah mula dikuatkan dengan pemain kacukan dan naturalisasi.
Bagi beliau, masih banyak yang berlu dilakukan untuk layak ke kejohanan terbesar itu dan tidak menafikan bahawa untuk jangka pendek ia akan membantu menaikkan permainan skuad Harimau Malaya
“Kehadiran mereka (pemain naturalisasi dan kacukan) akan membantu skuad negara. Tapi anda perlu sedar anda tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mereka, pemain tempatan pun kena berusaha memperbaiki permainan.
“Jangan anda ingat dengan kehadiran pemain naturalisasi dan kacukan seperti Lee Tuck serta yang lain kita boleh terus layak ke Piala Dunia. Cuma dengan ada pemain naturalisasi harapan rakyat Malaysia lebih tinggi, jadi KPI (indeks petunjuk prestasi utama) pun kena tinggi.
“Anda kena fikir juga, berapa orang yang boleh diambil sebagai pemain naturalisasi. Mungkin pemain naturalisasi yang diperlukan juga hanya untuk posisi tertentu, contohnya seorang di bahagian pertahanan, seorang pemain tengah dan seorang penyerang, ,” katanya kepada Sukan NSTP