Malaysia Berita

Selepas kontroversi, nama Stadium Mini Ffira Mikah digugurkan

Kelab Bola Sepak Kuala Negara Kiara (KN Kiara) bukanlah sebuah pasukan bola sepak terkemuka mahupun dikenali oleh peminat tempatan di negara ini.

Namun apabila sebuah gambar yang dimuatnaik di media sosial memaparkan nama Stadium Mini Frifa Mikah, ia menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen.

Rata-rata mendakwa bahawa nama tersebut adalah satu anadrom, satu istilah untuk perkataan yang diterbalikkan daripada perkataan asal.

Justeru, Ffira Mikah dipercayai merupakan anadrom kepada Hakim Ariff Md Noor, nama Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap.

Beliau menerima kecaman hebat malah mempertahankan bahawa nama itu merupakan istilah dari bahasa Sepanyol dan bahasa Greek.

Perkara itu sampai ke pengetahuan kerajaan negeri Kedah, yang meminta Majlis Daerah Padang Terap memberikan penjelasan terhadap isu tersebut.

Namun, KN Kiara mengumumkan bahawa papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah telah diturunkan pada pukul 4 petang, semalam.

“Sehubungan itu, KN Kiara Football Club selaku penyewa stadium mini itu juga memutuskan untuk tidak menggunakan nama Ffira Mikah dalam apa-apa tujuan dan promosi,” katanya menerusi akaun Facebook milik kelab itu.

“Buat sementara, pihak kami menyebut sebagai Stadium Mini Kuala Nerang sehingga mendapat makluman terkini daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Moga nama stadium mini itu nanti lebih bercirikan kawasan Kuala Nerang dan daerah Padang Terap (sekadar cadangan).”

KN Kiara juga berkata pihaknya diberi kepercayaan untuk menguruskan dan menyelenggara stadium tersebut mulai 1 Disember lalu.

“Stadium mini ini adalah milik PBT dan disewakan kepada pihak KN Kiara Football Club bagi tujuan menjalankan program pembangunan bola sepak akar umbi serta pelbagai aktiviti sukan bola sepak.”

Manakala soal nama stadium dan urusan menaik taraf adalah urusan PBT.