Malaysia Berita

FAM Tidak Akan Tarik Lesen FELDA, Tapi Minta Jelaskan Isu Tunggakan Gaji

Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Struat Ramalingam dalam satu kenyataan kepada Sukan NSTP menyatakan bahawa FAM tidak akan menarik balik lesen kebangsaan yang sudah diberikan kepada FELDA United.

Tetapi selaku badan induk yang menjaga bolasepak tanah air, FAM meminta FELDA tampil memberi penjelasan isu berkaitan tunggakan gaji yang heboh baru-baru ini di Sukan NSTP.

“Isu untuk menarik semula lesen FELDA United tidak timbul kerana mereka menerima lesen yang sah berdasarkan dokumen-dokumen diberikan sebelum tarikh tutup 30 Jun lalu, ketika itu mereka tidak ada sebarang masalah dan masalah tunggakan gaji ini hanya timbul selepas itu.

“FAM sehingga kini belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai tunggakan gaji ini sebaliknya hanya menerusi laporan media. Tapi kami mengambil inisiatif berhubung dengan FELDA United mengenai isu ini.

“Lesen mereka bagi musim depan tidak akan ditarik tapi mereka perlu mengemukakan penjelasan sejauh mana komitmen mereka untuk menyelesaikan tunggakan gaji itu dan perancangan kewangan untuk kekal bersaing musim depan,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Dalam pada masa yang sama, FELDA perlu juga menunjukkan kepada FAM bahawa mereka mempunyai kewangan yang kukuh bagi menghadapi liga musim hadapan.

“Kita mahu tahu kedudukan kewangan mereka sama ada kukuh atau tidak, kita tidak mahu ada pasukan menarik diri di pertengahan liga. Tapi kita percaya FELDA sebuah kelab dari syarikat besar yang memiliki kewangan dari sumber pelbagai, kalau mereka tidak mampu mereka sudah memaklumkan kepada FAM dari awal.

“Kalau boleh kita mahu FELDA United beraksi tapi kami mahu dapatkan penjelasan dulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya kepada Sukan NSTP.