Malaysia Berita

Akhyar Tak Hormat Kontrak, Sudah ‘Backdoor’ Saya – Ejen Akhyar Rashid

Pemain muda meningkat naik, Akhyar Rashid menjadi bualan hangat sejak beberapa minggu yang lalu apabila berada ditengah-tengah kemelut masa depan beliau selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) enggan melepaskan beliau ke Johor Darul Ta’zim.

Drama perebutan bintang muda Kedah ini memaksa FAM campur tangan dan mengeluarkan arahan bahawa Akhyar boleh menebus baki kontraknya selama setahun bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.

Selepas bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu melunaskan RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan.

Dalam episod terbaru, ejen Akhyar Rashid tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Memetik kata-kata Wan Mohd Anwari Wan Amran yang mewakili Marquee Sports Management (MSM) di SukanSinar.com. Beliau menyatakan bahawa beliau juga antara mangsa pencabulan kontrak oleh Akhyar walaupun pihaknya telah menjadi ejen yang sah kepada pemain tersebut sejak setahun yang lalu.

Tambah beliau lagi, Akhyar tidak mendapatkan sebarang nasihat dalam urusan perpindahan serta menggunakan jalan belakang untuk membuat keputusan perpindahan ke kelab baru. 

“Sejujurnya, saya sebagai ejen yang sah dan ada kontrak tak tahu apa-apa mengenai Akhyar mahu menyertai pasukan lain. Saya tahu-tahu sahaja bila perkra ini dah sampai ke jawatankuasa status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Bila saya tanya dengan orang yang terdekat dengan keluarga Akhyar, rupa-rupanya mereka dah buat kerja belakang. Yang buat kerja ni Rafdi (abang Akhyar) dan Akhyar sendiri.

“Itu yang buat saya betul-betul kecewa sebab dia (Akhyar) sudah melantik saya sebagai ejen yang sah untuk berunding dengan mana-mana kelab, tetapi kenapa mereka terus pergi jumpa pasukan baharu tanpa melalui saya? Istilah mudahnya ialah dia tidak menghormati kontrak di antara kami atau bahasa yang selalu kami guna ialah pemain sudah ‘backdoor’ saya,” katanya SukanSinar.com.

Beliau yang meluahkan rasa kecewa kepada SukanSinar.com menyatakan bahawa beliau tiada niat mahu menutup periuk nasi pemain tersebut tetapi hanya mahukan penjelasan daripada drama yang berlaku diantara KFA dan Johor Darul Ta’zim.

Keadaan menjadi lebih dingin diantara beliau dan Akhyar selepas pemain tersebut dan keluarga Akhyar tidak menghubungi beliau selaku ejen sah pemain tersebut selepas kejadian itu tular. Beliau turut rasa terkilan dengan sikap pemain itu yang seoalah-olah tidak kenal beliau semasa menghadiri Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 pada 5 November lalu.

“Mereka langsung tak jumpa saya dan saya cuba hubungi mereka pun langsung tak berjawab. Saya tak pasti ada yang cucuk dari belakang atau apa, tapi inilah hakikat.

“Masa jumpa di ABK 2018 pun, dia (Akhyar) seolah-olah buat tak tahu je dengan saya. Seolah-olah saya ini tak wujud. Kalaulah misal kata mereka ada terasa hati atau berselisih faham dengan saya, datanglah jumpa saya dan beritahu masalah. Bukannya dengan cara backdoor macam ini,” katanya lagi kepada SukanSinar.com. 

Kemelut Akhyar ini diharapkan dapat menjadi pengajaran kepada semua pemain agar tidak melanggar kontrak yang telah ditandatangani.