Liga Super Malaysia Berita

Transformasi bola sepak Selangor bermula musim hadapan

Selangor telah menjalani sejarah yang panjang dalam pembabitan mereka dalam kancah Liga Malaysia (Liga M). Mereka juga telah memenangi pelbagai trofi dan telah melahirkan bintang-bintang yang mewarnai sejarah bola sepak di peringkat negeri dan juga antarabangsa.

Dengan asas yang telah dibina lama dan beberapa modul tranformasi yang lebih baik, pasukan Selangor bakal bertukar wajah baharu bermula saingan musim hadapan.

Dalam laporan yang dikeluarkan BH Sukan, tranformasi ini bakal melibatkan keseluruhan skuad Selangor iaitu daripada sistem akar umi sehinggalah pasukan profesional dengan beberapa formula bakal diterokai.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari memandakan di Selangor sahaja terdapat tiga pasukan yang beroperasi – Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), PKNS FC dan juga Selangor United.

Justeru, bagi beliau penstrukturan semula bola sepak Selangor adalah perlu bagi mengelak daripada kerugian dari segi kos dan peruntukan jika tidak diselaraskan dengan baik daripada peringkat akademi sehinggalah kepada pasukan Liga Super.

Untuk rekod, kerajaan negeri Selangor telah memperuntukan dana sebanyak RM12 juta untuk pembanggunan bola sepak Selangor pada tahun ini, manakala pasukan PKNS FC juga memperuntukkan nilai yang sama untuk pasukan mereka bersaing dalam kancah Liga Super.

Bagi Amirudin, jika segala kos dan peruntukan ini dapat digabungkan serta ditambah pula dana daripada anak syarikat yang sedia ada, Selangor bakal mempunyai peruntukan yang setanding dengan Johor Darul Ta’zim dan juga pasukan Pahang.

Beliau juga memberi jalur masa bila akan bermulanya tranformasi ini. “kita akan muktamadkan pelarasan ini pada Julai nanti. Kita akan memiliki satu ‘blue print’ bola sepak Selangor yang akan merangkumi setiap sudut bermula akademi sehinggalah veteran untuk Piala Sultan Selangor.” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Amirudin turut menjelaskan jika pelarasan ini berlaku pasukan PKNS FC dan Selangor United bakal bertukar status sebagai kelab pembanggunan tetapi ia mengikut persetujuan masing-masing.

“Kita sudah membincangkan perkara ini sejak tahun lepas dan masing masing nampak setuju dengan idea pelarasan ini. Mungkin PKNS FC atau Selangor United (jadi kelab pembangunan).

“Ada pelbagai faktor dipertimbangkan antaranya kekuatan pasukan, tarikan penyokong, sejarah dan program pembangunan. Kita akan lihat secara keseluruhan dan perlu dibincangkan dengan ketiga tiga pihak.

“Tidak hanya formula yang diguna pakai JDT dan TFC, mungkin ada formula lain yang mana ia dapat memberi jaminan kepada kelangsungan pasukan dan hala tuju pemain sekiranya kita meleburkan sesuatu pasukan menjadi satu entiti,” katanya.