Luar Negara Berita

Eden Hazard bintang yang tiada ganti

Bekas pemain Chelsea, Mark Schwarzer mengakui perpindahan keluar Eden Hazard dari Chelsea adalah satu kehilangan besar buat kelab dari London tersebut.

Bintang kelahiran Belgium telah menjadi nadi penting buat The Blues sejak menyertai Chelsea tujuh tahu lalu.

“Tidak perlu menyebut betapa pentingnya Eden Hazard kepada pasukan sejak beberapa tahun lalu,” kata bekas penjaga gol, Schwarzer yang turut menjangkakan Chelsea akan terus mencabar kedudukan empat terbaik Liga Perdana pada musim depan.

“Tetapi saya tahu kadang kala pemain sehebat itu, pemain yang penting, pemain yang perlu sentiasa memegang bola, kadang kala boleh menjadi tumpuan dan menggalas tanggungjawab pemain lain.

“Apa yang akan berlaku sekarang ialah akan ada pemain di dalam skuad yang akan melangkah ke depan dan mula menunjukkan prestasi yang lebih konsisten.

“Ada beberapa pemain di Chelsea yang prestasinya terumbang ambing selama beberapa musim dan kini mereka mempunyai peluang (untuk membuktikan kemampuan mereka).

“Mereka kehilangan salah seorang pemain terbaik dunia dan ia satu kehilangan yang besar, tiada keraguan mengenainya. Tetapi Chelsea masih memiliki skuad yang amat kuat dan kamu juga perlu menimbang jumlah pemain yang mereka pinjamkan.

“Frank (Lampard) sedang menunggu posisinya, dan jika dia menjadi pengurus berikutnya, dia akan memikirkan apa yang mungkin berhasil untuk pasukan, bagaimana kita boleh menampungnya, bagaimana kita akan campur dan padankan pemain untuk 12 bukan berikutnya?

“Saya masih percaya Chelsea akan mencabar kedudukan empat terbaik. Mereka lebih daripada mampu bersama kualiti yang mereka ada dalam skuad, mereka hanya memerlukan adunan yang tepat.”