Liga Premier Malaysia Berita

KAFA diberi masa tambahan 2 minggu

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) melanjutkan tempoh sehingga dua minggu kepada KAFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji Cassio.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, CAS memberi tempoh bermula pada 22 Mei berdasarkan peruntukan khas kerana wabak COVID-19.

“Ini satu perkembangan positif untuk KAFA dalam mencari jalan penyelesaian di samping mengaktifkan tabung derma atas talian bagi menyelamatkan bola sepak Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kita sudah melengkapkan segala proses dokumentasi yang diperlukan dan kita sudah mendapat maklum balas bahawa CAS pun sudah menerima dokumen kita kemukakan. Kita masih ada peluang dan masa kalau CAS menerima rayuan kita.”

KAFA mempunyai masa sekurang-kurangnya sehingga bulan Jun depan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.

Malah badan pengelola bolasepak Kelantan itu sedang meminta bantuan daripada kerajaan negeri yang kini sudah pun menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.