Liga Super Malaysia

Tampil cemerlang menentang JDT, Fabio mahu Kamarul Effandi diberi peluang bersama Harimau Malaya

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel Da Silva menghamburkan pujian kepada penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi kerana berjaya bangkit semula daripada kesilapan untuk memberikan persembahan hebat ketika menentang JDT.

Fabio yang bercakap kepada media selepas perlawanan turut menyatakan bahawa Kamarul layak bermain untuk Harimau Malaya.

“Saya tidak pernah meragui kebolehan Kamarul (Effandi). Mungkin ramai orang mengkritiknya. Saya ada bercakap dengannya pada minggu ini, dan saya boleh katakan bahawa dia adalah salah seorang penjaga gol terbaik dan layak dipanggil ke skuad kebangsaan.

“Saya tahu apa yang dia lakukan setiap hari dan berikan keyakinan kepadanya. Saya tahu ramai mengkritiknya ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan, tetapi saya yang mengarahkan dia ke depan untuk melindungi barisan pertahanan. Saya juga memberitahunya yang dia sudah banyak kali menyelamatkan kami pada musim lalu. Tetapi lumrah alam, walaupun kita sudah melakukan 10 kebaikan dan satu kesilapan, orang akan ingat satu kesilapan itu.”

Kamarul memberikan persembahan hebat untuk mengekang percubaan bahagian serangan JDT dan antara yang terbaik apabila dia berjaya menyelamatkan tandukan Luciano Figeruoa walaupun ramai sudah menyangka bola akan menerjah gawang.