Malaysia Liga Super Malaysia

Harimau Malaya bakal bertempur dengan skuad kebangsaan Ukraine?

Malaysia dikatakan akan bertembung dengan skuad kebangsaan Ukraine dalam suatu perlawanan persahabatan yang dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.

Gambaran ini diberikan oleh laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, yang memuat naik gambar perbincangan di antara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail ibni Sultan dan juga Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo. Berikut adalah kenyataan yang mengiringi gambar-gambar tersebut.

“Pertemuan ini adalah bagi membincangkan jalinan kerjasama hubungan antara Ukraine dan Malaysia melalui bola sepak. Turut dibincangkan adalah mengadakan perlawanan persahabatan kelas A antara pasukan kebangsaan Malaysia dan pasukan kebangsaan Ukraine di bawah bimbingan lagenda bola sepak Ukraine, Andriy Shevchenko. 

“Ia sebagai pendedahan kepada pasukan kebangsaan dan juga dapat membantu menaikkan kedudukan pasukan kebangsaan di dalam ranking FIFA.”

Jurulatih Ukraine, Andriy Shevchenko merupakan antara ikon terbesar dalam sejarah bolasepak Eropah. Dia memulakan kariernya bersama Dynamo Kyiv di Ukraine, sebelum berhijrah ke AC Milan, di mana beliau mencipta pelbagai sejarah sepanjang tujuh tahun di San Siro.

Shevchenko membantu Milan menjuarai Serie A pada tahun 2004, satu tahun selepas memainkan peranan yang besar dalam kejayaan mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Secara keseluruhan, Shevchenko menjaringkan 127 gol dalam 208 perlawanan untuk Milan.