Asia AFC Cup

Jakmania: Barisan penyokong Persija Jakarta sudah bersedia untuk menggegarkan Larkin

Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos sudah pasti akan dipenuhi dengan suasana yang cukup rancak pada malam Rabu ini apabila Johor Darul Ta’azim menerima kunjungan Persija Jakarta untuk aksi Piala AFC.

Berdasarkan pelbagai laporan di Twitter dan Facebook, ramai penyokong Persija Jakarta yang lebih dikenali sebagai ‘Jakmania’ sudah bersedia untuk berkunjung ke Johor Bahru untuk perlawanan tersebut. Ini termasuk barisan penyokong Persija yang menetap di Malaysia – mereka dikenali sebagai JakMalaysia.

Malah, Twitter rasmi untuk kumpulan JakMalaysia sudah mula berkongsi info-info penting berkenaan perlawanan ini, termasuk kos dan cara untuk berlepas ke Johor Bahru dari Kuala Lumpur.

Pelbagai kumpulan penyokong Indonesia turut menyeru barisan Aliansi Suporter Indonesia di Malaysia, sebuah kumpulan yang menyatukan semua penyokong bolasepak Indonesia yang menetap di Malaysia, untuk turut memberi sokongan buat pasukan Persija Jakarta di Johor Bahru.

Kumpulan ini turut hadir untuk memberi sokongan apabila Persija melawat Malaysia untuk kejohanan pra-musim Boost-Sportsfix Super Cup pada awal bulan lepas. Persija menjadi juara kejohanan tersebut dengan tiga mata daripada dua perlawanan.

Berikut adalah video kumpulan ini memberi sokongan padu kepada Persija di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Walaupun barisan penyokong Persija Jakarta sudah bersedia untuk bertempur di Larkin, barisan pemain Persija terpaksa menempuhi perjalanan yang cukup meletihkan hari ini.

Skuad Stefano Cugurra Teco hanya berlepas ke Singapura hari ini, beberapa jam selepas menewaskan PSMS Medan untuk mara ke final Piala Presiden. Mereka dijadualkan tiba di Johor Bahru pada jam 11 malam ini.

Barisan pemain Persija hanya akan mempunyai satu hari untuk berehat di Johor Bahru, sebelum perlawanan Piala AFC pada hari Rabu ini.