
Persija Jakarta membuat kejutan apabila tidak menyenaraikan penyerang import mereka, Marko Simic untuk perlawanan Piala AFC menentang Johor Darul Ta’azim, esok.
Menurut pegawai media Persija, Eko Romeo Yudhiyono seperti dilaporkan bolasport.com, Simic tidak disenaraikan kerana mereka mahu merehatkan penyerang tersebut menjelang perlawanan akhir Piala Presiden yang akan berlangsung Sabtu ini.
“Kami tidak bawa Simic ke Johor kerana mahu dia berehat untuk bermain di perlawanan akhir Piala Presiden nanti.”
Dengan ketiadaan Simic, Persija akan menurunkan Addison Alves untuk membantu membolosi gawang JDT nanti. Selain Alves, turut tersenarai adalah penyerang lagenda, Bambang Pamungkas.
Persija Jakarta menyenaraikan hanya 18 orang pemain untuk aksi menentang JDT malam esok . Selain Simic, turut tidak tersenarai adalah ketua pasukan mereka, Ismed Sofyan, Ramdani Lestaluhu dan seorang lagi pemain import mereka, Rohit Chand.