Luar Negara

Luis Enrique jadi rebutan Chelsea dan Arsenal

Selepas meninggalkan Barcelona, Luis Enrique kini menjadi rebutan kelab-kelab England.

Terbaru, Arsenal dan Chelsea dikhabarkan berminat untuk membawa masuk bekas pengendali Barcelona itu untuk menjadi pengurus pasukan mereka bagi menggantikan Antonio Conte dan Arsene Wenger.

Enrique dikhabarkan bakal ke Chelsea sebelum ini ekoran ketidak tentuan masa depan pengurus sekarang, Antonio Conte yang dilihat bergelut untuk membawa pasukannya menunjukkan prestasi cemerlang seperti musim lalu.

Bahkan, Enrique juga dilaporkan sudah bersetuju untuk menjadi pengurus Chelsea musim hadapan dalam satu pertemuan dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich.

Namun, kini Arsenal dikatakan mahu menyaingi Chelsea untuk mendapatkan Enrique dan bersedia melepaskan Arsene Wenger lebih awal dari sepatutnya bagi mendapatkan sasaran mereka.

Walaupun berjaya membawa Arsenal menjulang Piala FA pada musim lalu, ramai penyokong Arsenal merasakan sudah tiba masanya untuk Arsenal menukar pengurus selepas kelab London itu dilihat bakal terlepas lagi slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.