Malaysia

Isu doping, penjaga gol Negeri Sembilan digantung sementara

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengesahkan bahawa ujian sampel B bagi kes doping membabitkan penjaga gol B-23 kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi telah dibuat semalam (12 Februari) selepas ujian sampel A disahkan positif bahan terlarang, metabolite methandienone ketika ujian tersebut dilakukan semasa Kejohanan Piala Asia B-23 di Changsu, China yang lalu.

Penjaga gol Negeri Sembilan itu melakukan ujian tersebut selepas dipilih selepas perlawanan bertemu Iraq pada 10 Januari yang lalu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh FAM, mereka menyatakan bahawa mereka telah menerima surat daripada Konfederasi Bolasepak Asia berkenaan keputusan ujian sampel A pada 6 Februari yang lalu.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah memutuskan Syihan didapati bersalah dan akan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada sebarang aktiviti bolasepak termasuk saingan domestik.

Penggantungan tersebut telah berkuatkuasa serta merta dan bermula ketika perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu.

Penjaga gol muda berkenaan telah meminta supaya sampel B diuji dan kini menunggu keputusan rasmi ujian berkenaan.