Asia AFC Cup

Ekslusif: Jakmania mahu berlaga chants dengan Boys of Straits di Larkin

Suasana meriah pasti tercipta di Larkin kerana kumpulan penyokong Persija Jakarta, atau lebih dikenali sebagai JakMania, akan tiba di Johor Bahru esok untuk perlawanan Piala AFC di antara pasukan mereka dan juga juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’azim.

JakMania sering dikenali sebagai antara barisan penyokong yang paling fanatik di kancah bolasepak Indonesia tetapi malam esok, mereka akan turun ‘bertembung’ dengan Boys of Straits, kumpulan penyokong Johor Darul Ta’azim yang turut mempunyai reputasi yang sama di Malaysia.

“Bagi saya, mereka adalah barisan penyokong Johor Darul Ta’azim yang cukup bersemangat. Setiap kali ada perlawanan JDT, stadium sentiasa dipenuhi dengan ahli-ahli Boys of Straits yang juga mempunyai chants and tifo yang kreatif.

“Tetapi, kami merupakan JakMania. Dan esok, kami akan bersedia untuk beradu chants yang kreatif dengan kumpulan Boys of Straits di Johor Bahru,” kata Andry, antara ahli JakMalaysia, sebuah kumpulan penyokong Persija Jakarta yang menetap di Malaysia.

Barisan kejurulatihan dan pemain Persija hanya tiba di Johor Bahru malam semalam, beberapa jam selepas mereka berjaya menewaskan PSMS Medan untuk mara ke final Piala Presiden yang dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu ini.

Photo credit: Bola.com

Walau bagaimanapun, skuad mereka hanya mengandungi 18 pemain untuk perlawanan malam esok dan senarai tersebut tidak termasuk bintang import baru mereka, Marko Simic, yang sudah meledak 9 gol sejak menyertai mereka pada awal tahun ini. Marko Simic turut merupakan antara pemain import yang paling menyerlah di Malaysia, bersama Negeri Sembilan dan Melaka tahun lepas.

Andry tetap berpendapat bahawa Persija mampu menewaskan JDT di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, walaupun dia mengakui pengaruh Safiq Rahim perlu disekat oleh anak buah Stefano Cugurra jika mereka mahu memulakan kempen Piala AFC 2018 dengan langkah kanan.

“Pemain JDT yang perlu diawasi adalah Safiq Rahim. Selain menjadi komponen yang penting dalam skuad JDT ini, dia juga merupakan antara pemain paling berpengalaman di Malaysia. Tetapi pada pandangan saya, Persija Jakarta mampu mengalahkan JDT, kerana prestasi semasa kami cukup positif,” tambah Andry.

Boys of Straits, anda sudah bersedia untuk menyahut cabaran rakan-rakan di JakMania?