Liga Super Malaysia

Tewaskan JDT, Achmad Jufriyanto enggan mendabik dada

Pemain pertahanan Kuala Lumpur dari Indonesia, Achmad Jufriyanto enggan mendabik dada walaupun Kuala Lumpur berjaya menewaskan juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’azim.

Bekas pemain Persib Bandung itu yang ditemui selepas perlawanan yang bersambung semalam menyatakan bahawa masih banyak perlawanan yang perlu dilalui Kuala Lumpur.

“Saya tidak mahu terlalu bangga, kerana masih banyak perlawanan lagi untuk Kuala Lumpur,” kata Jupe kepada Football Tribe Malaysia, sebelum bergegas untuk penerbangannya ke Indonesia.

Jufriyanto atau lebih mesra dikenali sebagai Jupe berjaya membantu bahagian pertahanan City Boys mengekang bahagian serangan JDT walaupun mereka dibarisi pemain hebat seperti Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figeruoa dan Natxo Insa.

Walaupun bermain sebagai pemain tengah bertahan dalam perlawanan hari Sabtu sebelum perlawanan dihentikan ekoran hujan lebat, Jufriyanto bertukar posisi menjadi pemain pertahanan dalam perlawanan keesokan harinya untuk memberikan lebih perlindungan kepada Kuala Lumpur.