Liga Super Malaysia Berita

Liga Super – Yee Fatt ingatkan pemain bahawa nasib pasukan ditentukan oleh mereka sendiri

Kuala Lumpur berada di dalam situasi bahaya selepas tewas tipis dengan Selangor pada aksi Liga Super, minggu lalu.

Kekalahan dengan jiran tetangga pada aksi Lembah Klang meletakkan pasukan Ibu Kota dalam situasi kemungkinan tersingkir ke Liga Perdana pada musim hadapan jika mereka tidak bangkit pada baki enam perlawanan musim ini.

Kegagalan mengutip mata pada minggu ini telah meletakkan pasukan mereka di tangga ketiga tercorot di hadapan Felda United dan PKNP dengan kutipan 14 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan PKNP dan dua mata dengan Felda.

Daripada baki enam perlawanan Liga Super, skuad Ibu Kota bakal bertemu tiga pasukan kental musim ini iaitu Melaka United, Pahang dan Johor Darul Ta’zim.

Justeru bagi pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt merayu agar anak buahnya terus bekerja keras jika mahu kekal beraksi dalam kancah Liga Super  musim depan.

Beliau sedar PKNP dan Felda juga bakal mengalami nasib yang sama iaitu bakal tersingkir ke Liga Perdana jika mereka gagal memenangi baki enam perlawanan musim ini.

Tetapi bagi beliau, pemain perlu lebih fokus kepada pasukan sendiri sambil berkata, “nasib kita di tangan kita sendiri.”

Kuala Lumpur gagal membawa pulang sebarang mata apabila dinafikan oleh jaringan penalti daripada pemain tengah kelahiran Brazil, Sandro da Silva di akhir minit perlawanan.