Liga Super Malaysia Berita

Liga Super – ‘Saya minta maaf’ Lee Tuck

“Saya minta maaf kepada semua, ini kali pertama saya gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.” Luah pemain tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck sejurus selepas perlawanan apabila beliau gagal menjaringkan penalti untuk meletakkan TFC di hadapan pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat.

Beliau turut mengakui bahawa kegagalan untuk menyempurnakan penalti telah mengakibatkan pasukannya gagal membawa pulang bekalan selesa tiga mata penuh ke Kuala Terengganu.

“Ia memang mendukacitakan lebih-lebih lagi ketika pasukan memerlukan jaringan untuk mencatat kemenangan.” katanya

“Tetapi itu lumrah dalam bola sepak, walaupun kecewa, saya tekad kembali lebih bertenaga pada perlawanan akan datang.

“Pujian harus diberikan kepada rakan sepasukan kerana mereka membantu saya walaupun saya gagal beraksi dengan baik, tahniah buat pasukan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abdul Wahab telah memberikan sepakan penalti kepada skuad Penyu selepas pemain kacukan Malaysia-England dijatuhkan pertahanan Melaka pada minit ke-58.

Tetapi tendangan beliau mudah dibaca oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang mudah menyelamatkan gawang gol mereka daripada dibolosi.