Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: ‘Chip’ Paulinho dan tandukan Silva bawa Brazil sebagai juara Kumpulan E

Tahniah ke atas Brazil dengan kemenangan 2-0 menewaskan Serbia,  juara 5 kali piala dunia ini menamatkan saingan peringkat kumpulan ditangga teratas. Seterusnya melayakkan mereka ke peringkat 16 terakhir.

Gol pasukan Brazil dijaringkan oleh Paulinho dan juga Thiago Silva. Awal permainan menyaksikan Marcelo ditukarkan kepada Filipe Luis disebabkan oleh Marcelo menghadapi masalah yang tidak diketahui puncanya. Namun pertukaran tersebut tidak merencatkan permainan Brazil.

Berikut adalah beberapa pemerhatian kami di dalam perlawanan ini:

Gabriel Jesus masih mencari rentak

Walaupun melalui musim yang cemerlang di Manchester City, Gabriel Jesus masih tecari-cari rentak bersama Brazil ketika ini. Beberapa kali mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, namun sedikit lambat dalam melakukan tindakan. Setakat 3 perlawanan peringkat kumpulan, beliau masih belum menjaringkan sebarang gol.  

Pertukaran awal Marcelo - Filipe Luis

Seawal minit ke-10, Marcelo ditukarkan dengan Filipe Luis. Ini berikutan Marcelo menghadapi sedikit masalah, tidak diketahui  puncanya. Pertukaran ini tidak mencacatkan pelan permainan Brazil, malah bejaya menang 2-0 tanpa bolos. Namun, dapat dilihat kekurangan ‘overlapping’ di sebelah kiri yang sering dilakukan oleh Marcelo. Selain itu, Marcelo juga mempunyai kelebihan dalam merancang serangan. Ini juga satu perkara yang tiada pada Filipe Luis.

Serbia tumpul di hadapan gol

Walaupun Brazil memiliki lebih penguasaan bola namun Serbia tetap dapat melancarkan serangan untuk menjaringkan gol. Malangnya, Serbia dilihat tumpul dihadapan gol yang dikawal oleh Alisson. Mitrovic banyak menerima suapan bola daripada rakan sepasukan, tetapi hanya mampu melepaskan beberapa tandukan lemah dan tersasar. Namun kehadirannya tetap memberikan satu tugasan yang besar kepada pertahanan Brazil ekoran fizikal yang besar.

Philippe Coutinho pemain utama Brazil

Bukan Neymar yang harus diberikan tumpuan oleh pasukan yang menentang Brazil. Ianya adalah Philippe Coutinho yang harus diberikan perhatian. Beliau adalah arkitek sebenar yang merancang serangan-serangan skuad Brazil. Dalam perlawanan ini, dia melambungkan satu umpaman cantik kepada Paulinho untuk gol pendahuluan. Malah dilihat melorongkan satu ‘through pass’ membunuh kepada Neymar namun sayang tidak dapat ‘convert’ kepada gol.

Nasib baik ada Stojkovic

Walaupun bolos 2 gol, penjaga gol Serbia ini boleh diberikan pujian atas aksinya. Menafikan beberapa percubaan oleh Neymar dan Gabriel Jesus malah berjaya menang dalam beberapa pertembungan 1v1. Berdasarkan statistik beliau berjaya menafikan 4 percubaan tepat oleh pemain Brazil. Jika tidak kerana Stojkovic, barangkali Serbia akan bolos lebih banyak.