Luar Negara Piala Dunia 2018

Jerman memang patut tersingkir, kata Joachim Low

Jerman mengambil pendekatan yang salah dan mengambil mudah setiap perlawanan Piala Dunia kali ini, kata Joachim Low.

Beliau menyangkakan pasukannya boleh mencatatkan kemenangan dengan mudah dan melakukan persiapan Piala Dunianya sama seperti ketika beliau menghabiskan cuti musim panasnya di tepi pantai di Rusia baru-baru ini.

Kesudahannya, beliau dan pasukannya memperoleh masa percutian yang lebih panjang selepas gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati sejak 1938, iaitu sejak Adolf Hitler dan Nazi Jerman masih berkuasa lagi.

“Kami datang ke Piala Dunia dengan penuh rasa keangkuhan,” kata Low.

“Kami sangkakan kami hanya perlu menukar suis selepas melalui beberapa perlawanan persahabatan yang kurang memuaskan.

“Saya bertanggungjawab di atas penyingkiran ini.

“Perasaan kecewa apabila disingkirkan sangatlah besar.

“Kami tidak layak menjadi juara lagi, kami tidak layak masuk ke pusingan 16 terakhir.

“Kami mahukan kemenangan tetapi kami tidak mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menang, kami tidak mempunyai sebarang kelancaran dalam cara bermain.

“Kami tahu Sweden sedang mendahului namun kami tidak mempunyai cara untuk menjaringkan gol, kami memang patut disingkirkan,” katanya.

Sebelum kejohanan, Low telah menandatangani kontrak sehingga 2022 namun beliau akan mengambil sedikit masa untuk mempertimbangkan masa depannya.

“Ini sukar untuk saya katakan pada masa ini, ia akan mengambil masa beberapa waktu,” kata Low.

“Saya masih terkejut kerana kami tidak berjaya melakukannya, saya benar-benar rasakan bahawa pasukan ini mahu layak, tapi saya sangat kecewa dengan penyingkiran ini dan perlu memikirkannya dengan tenang,” katanya.

Bagi Mats Hummels, beliau percaya nasib Jerman akan menjadi berbeza jika bola yang ditanduk beliau masuk ke gawang gol pada minit ke-86 perlawanan.

“Kami berlari dengan liar selepas minit ke-65, meninggalkan kedudukan kami, diasak dengan serangan balas, kehilangan struktur kami,” katanya kepada ARD.

“Jika saya menjaringkan gol pada minit ke-86, kita semua akan gembira sekarang, tetapi sekarang hanyalah sekadar malam yang pahit bagi kita.”

Hummels mempunyai peluang untuk menjadi penyelamat tiga minit dari masa tamat tetapi tandukan percumanya dalam kotak penalti melantun ke atas gawang gol sebaliknya Korea Selatan berjaya menjaringkan gol dua kali ketika Jerman meninggalkan pertahanan mereka yang sedang cuba untuk menjaringkan gol.

“Sukar untuk dimasukkan ke dalam kata-kata, kami percaya pada diri sehingga saat akhir,” kata Hummels.

“Walaupun selepas 1-0, kami cuba menghidupkan peluang, tetapi kami tidak pernah dapat melepasi garisan jaringan gol. Saya sepatutnya menjaringkan gol pada minit ke-86. Kami rasa patah hati apabila tidak dapat menjaringkan sebarang gol.

Ditanya apa yang berlaku dalam empat tahun sejak Jerman membelasah Brazil 7-1 pada separuh akhir 2014 dan menewaskan Argentina sekali gus mengangkat trofi, Hummels menganggap pertahanan pihak lawan sudah menjadi lebih baik.

“Pasukan yang lebih kecil telah belajar bagaimana untuk bertahan,” kata Hummels.

“Setiap pasukan mempunyai masalah dan kami mencipta masalah sendiri apabila menentang Mexico, jadi bagaimana Korea Selatan dapat menjaringkan gol, itulah apa yang berlaku.

“Kami mempunyai beberapa perkara yang perlu difikirkan,” kata Hummels.

“Kali terakhir kami tampil dengan penuh keyakinan, itu adalah pada hujung tahun 2017,” katanya.-ESPN