Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: Kaki kiri Kolarov masih berbisa, Keylor Navas cemerlang di gawang gol Costa Rica

Pasukan Serbia berjaya menumpaskan pasukan Costa Rica dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia yang berlangsung sebentar tadi, hasil sepakan percuma yang cantik daripada Aleksandar Kolarov.

Berikut merupakan pemerhatian kami sepanjang perlawanan tadi:

Costa Rica begitu berdisiplin ketika bertahan:

Barisan pertahanan berlima Costa Rica sangat berdisiplin dalam bertahan, terutamanya apabila Serbia sekali sekala berjaya memecah masuk ke dalam kotak penalti mereka. Serbia juga hanya sekadar berjaya mendapatkan gol dalam perlawanan ini menerusi situasi bola mati.

Keylor Navas sangat tangkas menyelamatkan keadaan:

Kecemerlangan beliau dalam saingan La Liga sekali lagi berjaya diterjemahkan di pentas Piala Dunia seperti mana pada edisi 2014 yang lalu. 2 aksi menyelamat yang menakjubkan, iaitu menepis keluar sepakan percuma Aleksandar Kolarov pada babak pertama serta menghentikan voli sepakan basikal cantik daripada Aleksandar Mitrovic. Malangnya, beliau akhirnya ditewaskan oleh momen yang bijak daripada Aleksandar Kolarov pada babak kedua, juga menerusi satu lagi sepakan percuma.

Aleksandar Mitrovic mendominasi udara:

Jelas sekali, pasukan Serbia berusaha keras memanfaatkan kebolehan Aleksandar Mitrovic dalam perebutan bola di udara. Mereka banyak melakukan hantaran-hantaran lintang ke dalam kotak penalti, tidak kira daripada pemain sayap mahupun bek sisi. Beliau sudah pasti akan memecahkan kebuntuan menerusi voli sepakan basikal beliau yang cantik, jika tidak kerana ketangkasan Keylor Navas.

Marco Urena berjaya menggugat pertahanan tengah Serbia, malangnya beliau tiada bantuan:

Pengulas perlawanan sesekali ada menegaskan mengenai larian-larian yang dilakukan oleh Marco Urena. Beliau sebenarnya berjaya menggugat gandingan pertahanan tengah Serbia iaitu Milenkovic dan Tosic hasil larian-larian tanpa bola yang dilakukan oleh beliau. Malangnya beliau tidak mendapat bantuan yang kerap daripada rakan-rakan sepasukan beliau.

Aleksandar Kolarov; memimpin dengan contoh

Serbia sangat banyak melakukan gerakan-gerakan menyerang ke gawang Costa Rica, namun mereka gagal menterjemahkan gerakan-gerakan tersebut kepada jaringan gol. Kemudian, Aleksandar Kolarov muncul untuk menjadi contoh tauladan terhadap rakan sepasukan dengan satu sepakan percuma cantik yang melengkung menjumpai penjuru kiri gawang Keylor Navas.