Piala Dunia 2018

Tribe Ratings: Jerman tersentak, Jaringan Hirving Lozano kejutkan juara bertahan

Kejutan sekali lagi berlaku di Piala Dunia. Selepas Itali dikejutkan pada tahun 2014 dan Perancis pada 2002, nampaknya kini giliran Jerman. Juara bertahan Piala Dunia itu dikejutkan dengan jaringan Hirving Lozano pada minit ke-35.

Biarpun beraksi baik sepanjang perlawanan, Jerman gagal mencari peluang untuk menewaskan kembar Ted Mosby di gawang gol Mexico. Ini adalah rating pemain-pemain dalam perlawanan ini.

Guillermo Ochoa - 8/10

Penjaga gol yang iras Ted Mosby dari siri tv How I Met Your Mother ini mungkin kadang kala sedikit gila dalam caranya. Biarpun mempunyai tembok yang tebal di depan untuk melindunginya, Ochoa tetap bertindak cemerlang ketika diperlukan.

Carlos Salcedo -7/10

Salcedo pada awalnya diramal bakal berdepan tugas sukar berdepan dengan Kimmich dan Muller. Tetapi nampaknya sama seperti ketika perlawanan akhir DFB Pokkal yang lalu, pemain pertahanan Eintracht Frankfurt ini sekali lagi mengecewakan dua pemain Bayern Munich itu.

Hugo Ayala - 8/10

Ketika Jerman mula mengasak, Ayala terus menutup ruang. Biarlah siapa pun dihadapinya, Werner, Reus, Muller atau Gomez, dia tidak memberikan ruang untuk mereka berdepan satu lawan satu dengan Ochoa.

Hector Moreno - 8/10

Gandingan Moreno dan Ayala memang cukup ampuh untuk mengekang serangan Jerman. Jerman terpaksa mencuba dari jauh dan membuat hantaran lintang untuk cuba menembusi pertahanan Mexico, tetapi gagal.

Jesus Gallardo - 7/10

Bermain sebagai pemain bek ketika menentang Jerman bukan tugas mudah. Mereka perlu mengawal serangan daripada pemain bek menyerang Jerman dan juga larian daripada pemain sayap. Gallardo melakukan kedua-duanya dengan baik.

Hector Herrera - 8/10

Herrera yang agresif memberikan ruang kepada Guardado mengawal tempo dan membuat gerakan untuk Mexico. Ketika Jerman mula mengasak mencari gol penyamaan, Herrera dan Guardado menjadi 'tembok' kepada barisan pertahanan Mexico.

Andres Guardado - 8/10

Ketua pasukan Mexico ini bermain bagaikan ini permainan terakhirnya. Menggunakan sepenuh tenaganya untuk membantu serangan dan pertahanan. Seorang ketua pasukan yang menjadi inspirasi kepada rakan-rakannya.

Miguel Layun - 7/10

Dengan Plattenhardt sering naik untuk membantu serangan, Layun sering mempunyai peluang dan ruang untuk membuat serangan balas ke gawang Jerman. Beberapa kali membuat gerakan cantik untuk mencari dan membuka ruang buat Mexico.

Carlos Vela - 7/10

Vela, Hernandez, Lozano dan Layun merupakan pemain dengan cara permainan berbeza. Namun, mereka bergabung dengan baik terutamanya ketika membuat serangan balas pantas. Terlepas peluang untuk menjaringkan gol kedua Mexico.

Hirving Lozano - 9/10

Wira untuk Mexico. Pemain sayap PSV ini memang mampu menjadi pemain yang perlu diperhatikan di Piala Dunia ini. Larian pantas dan kreativinya menyusahkan Kimmich dan Hummels.

Javier 'Chicharito' Hernandez - 8/10

Hernandez adalah antara penyerang zaman kini yang mempunyai corak permainan penyerang klasik. Sering bermain berdekatan pemain pertahanan terakhir, dia bijak mencari ruang dan membuat larian untuk mencari peluang menjaringkan gol. Dia sentiasa rapat dengan Hummels kerana tau dia mampu menewaskan pemain itu dengan kepantasannya. Membuat hantaran cantik untuk Lozano menjaringkan gol.

Pemain gantian 

Edson Alvarez masuk menggantikan Carlos Vela

Raul Jimenez masuk menggantikan Hirving Lozano

Rafael Marquez masuk menggantikan Andres Guardado

 

 

Manuel Neuer - 7/10

Selepas berehat lama disebabkan kecederaan, Manuel Neuer terus menjadi pilihan Joachim Loew. Sekali lagi bertindak sebagai 'sweeper keeper', sebenarnya tiada kesilapan dalam permainan Neuer hari ini. Cuma dia bernasib malang bolos disebabkan kesilapan pemain pertahanannya.

Joshua Kimmich - 6/10

Pengganti Philip Lahm ini cemerlang ketika menyerang. Memberikan pilihan di bahagian sayap dan membenarkan Thomas Muller untuk masuk ke dalam. Namun, di saat dia menyerang, dia terlupa bahawa Mexico mempunyai pemain yang laju untuk membuat serangan balas.

Mats Hummels - 4/10

Kesilapan dua pemain pertahanan tengah Jerman dan Bayern Munich menyebabkan Mexico berjaya menjaringkan gol. Bermain dengan defensive line yang tinggi membenarkan pemain serangan Mexico membuat serangan balas pantas. Hummels terlampau teruja untuk merampas bola daripada Hernandez walaupun pemain itu masih berada di kawasannya sendiri dan kemudian tergelincir, meninggalkan Boateng berseorangan berdepan serangan Mexico.

Jerome Boateng - 4/10

Satu yang ketara daripada perlawanan ini, jika Jerman mahu bermain defensive line yang tinggi, mereka perlukan pemain pertahanan tengah yang laju. Hummels dan Boateng kedua-duanya bergelut dengan kepantasan pemain Mexico.

Marvin Plattenhardt - 5/10

Sama seperti Kimmich, kadang kala teruja menyerang sehingga terlupa pemain sayap Mexico lebih laju daripada pemain pertahanan tengah mereka.

Sami Khedira - 6/10

Jika Kroos lebih gemar menghubungkan pertahanan dengan midfield, Khedira pula menghubungkan midfield dengan bahagian serangan. Sering memberikan pilihan kepada bahagian serangan menerusi gerakan merbahaya. Tetapi sukar untuk dia menembusi tembok pertahanan Mexico.

Toni Kroos - 6/10

Tenang dan mengawal tempo Jerman. Namun, gagal membaca serangan balas pantas Mexico dan kurang agresif ketika bertahan.

Julian Draxler - 8/10

Jika ada seorang pemain Jerman yang paling layak diberikan pujian, ianya adalah Draxler. Dia sentiasa aktif meminta bola dan banyak membuat larian untuk membantu mencari gol. Jerman perlu banyak menggunakan Draxler dalam perlawanan mereka selepas ini.

Mesut Ozil - 5/10

Sama seperti di Arsenal, Ozil 'hilang' ketika diperlukan. Kreativiti dan hantaran cantiknya kepada penyerang tidak kelihatan dalam perlawanan ini.

Thomas Muller -6/10

Tiada jaringan daripada pemain yang mempunyai rekod jaringan baik untuk Jerman ini. Bermain di bahagian sayap, dia sukar memberikan impak sewajarnya di dalam kotak penalti Mexico.

Timo Werner - 5/10

Bermain sebagai penyerang tunggal bukan tugas mudah. Berdepan dengan benteng pertahanan yang cukup kebal, sukar untuk pemenang kasut emas Piala Konfederasi ini menjaringkan gol. Dia bahkan sukar untuk mendapat peluang berdepan dengan Ochoa.

Pemain gantian

Marco Reus menggantikan Sami Khedira

Mario Gomez menggantikan Marvin Plattenhardt

Julian Brandt menggantikan Timo Werner