Sejak pertama kali layak ke Piala Dunia di Perancis pada 1998, Jepun tidak pernah terlepas kejohanan itu. Satu prestasi yang membanggakan buat sebuah wakil Asia tetapi ia juga diselitkan dengan kegagalan tidak pernah melangkah jauh melebihi pusingan kedua. Jadi, apakah potensi mereka di Piala Dunia 2018?
Layak selaku wakil Asia Timur bersama Korea Selatan, Jepun hadir ke Russia berbekalkan barisan pemain dari liga besar Eripah dan wakil terbaik di Liga J1. Apa yang menarik, skuad Jepun pada kali ini adalah gabungan dua Piala Dunia kerana majoriti mereka membarisi skuad Piala Dunia 2010 dan Piala Dunia 2014.
Eiji Kawashima, Yuto Nagatomo, Makoto Hasebe, Keisuke Honda, dan Shinji Okazaki adalah beberapa pemain yang mengambil bahagian sewaktu mereka melayakkan diri ke pusingan kedua di Afrika Selatan, menyamai pencapaian pada 2002. Kemudian, empat tahun kemudian, pemain yang masih menjadi pertaruhan untuk edisi kali ini adalah Maya Yoshida, duo Sakai (Gotoku dan Hiroki), dan Shinji Kagawa.
Malah, daripada beberapa nama itu, ada antara mereka yang lain bakal melalui Piala Dunia ketiga sejak 2010 iaitu Eiji Kawashima (35 tahun), Yuto Nagatomo (31 tahun), Makoto Hasebe (34 tahun), Shinji Okazaki (32 tahun), dan Keisuke Honda (31 tahun). Kelompok pemain veteran itu membuatkan Jepun muncul antara pasukan memiliki purata usia yang tinggi.
Jangkaan formasi
Daripada 23 pemain yang dibawa oleh Akira Nishino ke Russia, kemungkinan Jepun akan menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan variasi 4-3-3 yang digunakan sejak peringkat kelayakan. Hasebe dan Yamaguchi akan berganding di tengah bertahan, sambil Osaki selaku penyerang tunggal akan disokong trio Honda, Usami dan Haraguchi.
Walaupun corak itu telah membawa Jepun ke Piala Dunia 2018, skuad Samurai Biru tetap mempunyai pilihan lain. Jika strategi utama dilihat tidak membantu pasukan dan tidak mampu menyaingi lawan, mereka boleh menggunakan idea “bola sepak cara Jepun” dengan formasi 3-4-2-1, seperti yang sedang dibina oleh Nishino dan JFA.
https://www.instagram.com/p/Bjb9fZYHik8/?utm_source=ig_embed
Namun, formasi itu masih banyak kekurangan dan diyakini menjadi punca kepada kekalahan sewaktu berdepan Ghana pada 30 Mei lalu. Ketika itu, Jepun dilihat sukar merobek benteng Ghana dan tewas akibat tendangan bebas Thomas Partey dan sepakan penalti Emmanuel Boateng.
Dua corak permainan itu adalah konsep yang paling sesuai buat Jepun ketika ini. Ia mengharapkan serangan balas dari dua pemain sayap, memenuhi segenap ruang. Disebabkan itu, sekurang-kurangnya perlu ada tiga orang pemain di kawasan itu, yang terdiri daripada satu bek sayap dan dua pemain lain yang mungkin diisi oleh pemain sayap dan pemain tengah menyerang atau pemain tengah menyerang dan satu penyerang tunggal.
Kekuatan
Secara individu, Jepun adalah pasukan yang diperkuatkan oleh kemampuan itu. Kejayaan wakil Asia Timur itu adalah hasil daripada kepantasan pemain serta kebolehan menggelecek. Selain itu, mereka juga dikenali dengan semangat berpasukan yang kuat dalam skuad. Pemain-pemain sudah bersama dalam tempoh yang lama sehingga sudah memahami perwatakan masing-masing.
Kekuatan itu dilihat sebagai sesuatu yang dibawa oleh Jepun ke Piala Dunia kali ini. Seperti yang dijelaskan, pasukan bimbingan Nishino adalah hasil gabungan pemain dari Piala Dunia 2010 dan Piala Dunia 2014. Ia bererti Jepun ke Russia dengan pengalaman yang ampuh dan bukan sekadar pemain muda yang mentah.
Kelemahan
Jepun boleh berbangga dengan profil pemain-pemain mereka yang berpengalaman di kejohanan besar antarabangsa tetapi secara tidak langsung ia menjadi kelemahan buat mereka. Faktor usia adalah sesuatu yang sukar diharapkan dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia.
Gandingan trio Honda, Kagawa dan Okazaki bukan lagi seperti dulu. Mereka telah melalui kemuncak karier dan 2018 dilihat sebagai penurunan karier mereka. Honda hanya mampu beraksi di Liga Mexico bersama Pachuca, Kagawa sukar membarisi kesebelasan utama Borussia Dortmund dan Okazaki bergelut bersama Leicester City yang kembali ke zon pertengahan liga. Isu sama juga dihadapi oleh Yuto Nagatomo.
Kerisauan ini dilihat ketika aksi kelayakan. Ketika pusingan ketiga Kumpulan B zon Asia, Jepun tidak layak dengan penuh keyakinan. Mereka muncul juara tetapi kebanyakan perlawanan dimenangi dengan keputusan tipis. Hanya keputusan 4-0 keatas Thailand yang menjadi kemenangan melebihi beza dua gol buat mereka.
Berdepan pesaing Piala Dunia seperti Arab Saudi dan Australia, Jepun mudah meraih kemenangan di laman sendiri tetapi gagal di tempat lawan. Sudah tentu ia menjadi sesuatu yang bahaya kerana jika mereka bergelut ketika bertemu wakil Asia, bagaimana untuk mereka berdepan Poland dengan corak Eropah, Colobia dengan gaya teknikal tinggi Amerika Latin dan Senegal dengan kekuatan fizikal yang hebat?
Pemain utama: Keisuke Honda
Walaupun sudah tidak sehebat dan tenang seperti ketika bersama CSKA Moscow dan AC Milan, karisma Honda sukar diketepikan daripada skuad Jepun. Di negara itu, ia dikenali dengan istilah Name Value, iaitu apabila seseorang dibawa menyertai sesebuah kejohanan berdasarkan populariti dan kepimpinannya.
Jadi, jika Honda tidak beraksi hebat di atas padang, dia masih mampu memberi sokongan moral kepada pemain-pemain yang lebih muda seperti Takashi Usami (26 tahun) yang mungkin akan berganding dengannya di kubu lawan.
Peluang di Piala Dunia
Kumpulan H adalah kumpulan yang tenang. Tiada pasukan pilihan daripada kumpulan ini. Bagi Jepun, kunci utama buat mereka terletak dalam aksi pertama dan kedua, dimana jika mampu meraih sekurang-kurangnya empat mata hasil pertemuan dengan Colombia dan Senegal, tekanan di perlawanan terakhir berdepan Poland sudah pasti lebih mudah buat mereka.