Piala Dunia 2018 Luar Negara

David De Gea nantikan permohonan maaf terbuka daripada Perdana Menteri Sepanyol

Di sebalik persiapan Piala Dunia, ada satu perkara yang masih ditunggu-tunggu oleh penjaga gol Sepanyol dan Manchester United, David De Gea. Dia bukan menunggu kasut baru ataupun tibanya Hari Raya Aidilfitri, tetapi permohonan maaf dari seorang individu berpangkat besar di Sepanyol.

Penjaga gol utama Sepanyol itu masih menantikan permohonan maaf secara umum oleh Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang sebelum ini telah membuat komen yang tidak tepat ketika De Gea dikaitkan dengan skandal seks pada tahun 2016.

Sebelum Euro 2016, De Gea telah dituduh terlibat dengan satu skandal seks, namun akhirnya didapati tidak bersalah.

Dalam satu temuramah bersama AS, De Gea menyatakan bahawa Pedro Sanchez telah bertemu dengannya dan bercakap secara peribadi, tetapi bagi De Gea, itu tidak memadai dengan apa yang telah dilakukan oleh Sanchez.

“Saya terima permohonan maafnya. Cuma, apa yang dikatakan olehnya ketika itu dilakukan di khalayak ramai, sebab itu saya rasa permohonan maaf itu juga perlu dilakukan secara terbuka. Ia juga benar di mana ramai lagi individu terkenal yang telah telah menunjukkan sikap kurang ajar kepada saya dan langsung tidak meminta maaf – walaupun secara peribadi. Ianya senang untuk bercakap mengenai orang lain di negara ini (Sepanyol).”

Sepanyol akan memulakan kempen mereka di Piala Dunia dengan berdepan Juara Eropah, Portugal pada 16 Jun nanti. Sepanyol berada di Kumpulan B bersama Portugal, Morocco dan Iran.