Malaysia Liga Super Malaysia

Radhi Mat Din mahu MFL kaji semula perlawanan di bulan Ramadhan

Bekas pemain Kedah, Radhi Mat Din nampaknya tidak bersetuju dengan perlawanan liga di bulan Ramadhan.

Dalam satu laporan Berita Harian, bekas pemain kebangsaan itu menyatakan bahawa liga Malaysia sepatutnya direhatkan pada bulan Ramadhan supaya pemain dan penyokong boleh fokus untuk beribadah sepanjang bulan mulia itu.

“Apabila liga diteruskan, pemain yang terbabit sudah tentu tidak dapat bersolat tarawih bukan sahaja pada malam perlawanan malah sepanjang Ramadan kerana mereka perlu menjalani latihan selepas berbuka puasa.

“Begitu juga dengan penyokong yang mahu menyaksikan perlawanan, sudah pasti kebanyakan mereka akan turut terlepas solat itu. Walaupun tarawih hanya sunat tapi ganjaran pahalanya sangat besar yang hanya ditawarkan pada bulan puasa.”

Sebelum ini MFL pernah menjelaskan bahawa liga tetap diteruskan pada bulan Ramadhan bagi mengekalkan momentum liga dan setiap pasukan selain daripada mahu menamatkan saingan piala dan liga Malaysia mengikut masa yang ditetapkan bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan yang akan beraksi di Piala AFF Suzuki nanti.

Baru satu hari perlawanan diadakan bagi Liga Malaysia pada bulan Ramadhan ini. Dengan perlawanan yang berlangsung pada pukul 10 malam, mungkin tiada masalah bagi pemain dan pasukan untuk solat Terawih, tetapi perlawanan yang tamat agak lewat iaitu hampir jam 12 tengah malam, mungkin sedikit sebanyak menyebabkan tidak ramai penyokong mahu turun ke stadium terutamanya perlawanan yang berlangsung pada malam hari berkerja.