Malaysia Berita

Bhayangkara FC berminat bawa pulang Ilham Udin Armaiyn dari Selangor

Tidak sampai setengah musim, ramai pemain import di Liga Super telah mula dilepaskan oleh pasukan. Kalau sebelum ini seorang pemain Indonesia, Ferdinand Sinaga telah dilepaskan oleh Kelantan, ada khabar menyatakan seorang lagi pemain Indonesia berkemungkinan dilepaskan oleh pasukannya.

Ilham Udin Armaiyn yang beraksi di Selangor bersama rakan senegaranya, Evan Dimas dikhabarkan dalam bahaya apabila Selangor mula mencongak untuk memperbaiki pasukan dan mencari pemain import baru.

Namun, jika benar Ilham bakal dilepaskan, nampaknya dia tidak perlu menunggu lama untuk menyertai pasukan baru.

Kelab lama Ilham, Bhayangkara FC bersedia untuk menerima kembali Ilham bersama pasukan.
Pengurus Bhayangkara FC, Sumardji mengakui bahawa mereka bersedia menerima kembali Ilham jika dia dilepaskan oleh Selangor.

“Saya memang ingin membawa kembali Ilham Udin ke Bhayangkara FC. Saya suka sikap Ilham. Ketika bersama kami dia bersinar, kini sinarannya sedikit malap. Saya mahu Ilham kembali bersama Bhayangkara FC.

“Saya sudah berhubung dengan Ilham ketika dia bersama skuad kebangsaan. Saya juga sudah menghubungi ejennya (Muly Munial). Dia juga perlu memikirkan mengenai ibu bapanya yang sedang sakit, jadi saya minta tolong Muly untuk membantu Ilham kembali ke Bhayangkara FC,” kata Sumardji seperti dilaporkan Bolalob.

Nasib Ilham sedikit berbeza berbanding rakannya Evan Dimas di Selangor. Ketika Evan menjadi antara pemain kesebelasan utama, Ilham baru beraksi lima daripada sembilan perlawanan bersama Selangor.
Ketika bersama Bhayangkara FC, Ilham membuat 30 penampilan dan menjaringkan sembilan gol yang turut membantu Bhayangkara FC menjulang kejuaraan Liga 1 Indonesia pada tahun lalu.

Selain Evan Dimas dan Ilham Udin, dua lagi pemain Indonesia masih beraksi di Malaysia iaitu Achmad Jufriyanto bersama Kuala Lumpur dan David Laly bersama Felcra FC di Liga Premier.